Lau Bik Soon
Lau Bik Soon

Kuala Lumpur: REDtone Digital Bhd dan SpaceX memeterai perjanjian penjualan semula bagi menawarkan perkhidmatan internet berkelajuan tinggi yang dihubungkan menerusi satelit Starlink di seluruh Malaysia.

Dalam satu kenyataan, REDtone, syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan infrastruktur digital bersepadu itu berkata, dengan pasukannya yang mempunyai lebih 150 jurutera di seluruh negara, syarikat itu mampu membekalkan perkhidmatan jalur lebar Starlink dengan pantas kepada pengguna di lokasi terpencil serta kawasan mempunyai kekangan dari segi geografi dan alam sekitar.

Ketua Pegawai Eksekutif REDtone Lau Bik Soon berkata, kekuatan syarikat sebagai penyedia penyelesaian rangkaian bersepadu membolehkan mereka menawarkan perkhidmatan satelit lancar kepada pelanggan kerajaan dan perusahaan.

"Kami sasarkan sektor menunjukkan peningkatan kebergantungan terhadap perkhidmatan satelit seperti minyak dan gas, telekomunikasi, perkapalan dan maritim, perkhidmatan kewangan dan perladangan.

"Sektor ini dijangka menjadi pemacu penting pertumbuhan pasaran satelit di negara ini dan meningkatkan keuntungan syarikat," katanya.

Lau berkata, REDtone mengorak langkah ke hadapan dalam merealisasikan visi kerajaan untuk mencapai 100 peratus capaian internet di kawasan berpenduduk.

Beliau berkata, tiga peratus daripada penduduk negara ini menetap di kawasan yang kurang mempunyai liputan atau tiada sambungan rangkaian internet.

"Kini kami hadir bagi merapatkan jurang jalur lebar itu melalui satelit untuk mengupayakan pertumbuhan ekonomi, menyediakan akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan, dan meningkatkan keselamatan awam," katanya.

Menurut kenyataan itu, pasaran satelit dianggar bernilai RM19.7 bilion menjelang 2025, berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 10.9 peratus.

Pada masa ini ada 5,000 satelit Starlink di orbit dan syarikat itu mula melancarkan satelit Gen 2 membolehkan mereka menyediakan sokongan digital ke setiap sudut, menghubungkan kawasan yang tiada rangkaian ketersambungan dan merapatkan jurang digital di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 7:46 AM