Elon Musk
Elon Musk
BERNAMA

Kuala Lumpur: Penyertaan syarikat SpaceX dalam perkhidmatan satelit Starlink di Malaysia dijangka memberikan impak positif kepada perkembangan keterhubungan Internet Pelbagai Benda (IoT) dan kes gunaan industri baharu, kata penganalisis.

Penganalisis Utama GlobalData, Alfie Amir berkata kehadiran Starlink oleh SpaceX di negara ini akan membawa manfaat besar kepada industri di samping meningkatkan lagi kemajuan signifikan Malaysia dalam keterhubungan Internet.

"Kita lihat pada masa ini syarikat telekomunikasi di seluruh dunia menambah satelit orbit bumi rendah (LEO) menerusi kerjasama dengan operator satelit seperti Starlink.

"Kes gunaan dalam kerjasama ini terutamanya untuk keterhubungan IoT di kawasan pedalaman -- bertujuan meningkatkan kebolehpercayaan rangkaian sebagai sandaran dan komunikasi kritikal," katanya kepada Bernama.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan persidangan video bersama Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX, Elon Musk yang berlangsung selama kira-kira 25 minit.

Perbincangan yang terarah khususnya dalam bidang kenderaan elektrik (EV), turut menyentuh penyertaan SpaceX yang dapat menyumbang kepada capaian Internet yang lebih laju dan meluas terutamanya di kawasan pedalaman.

Anwar berkata kerjasama kerajaan Malaysia dengan Musk dijangka membuka puluhan ribu peluang pekerjaan tenaga mahir di negara ini, dengan sekurang-kurangnya tiga syarikat tempatan akan terlibat dalam projek bersama SpaceX.

Pertemuan maya Anwar dengan Musk yang juga CEO Tesla Inc turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Tengku Zafrul dalam catatan di laman Facebook beliau hari ini berkata perbincangan lanjut berhubung kerjasama Starlink SpaceX dengan kerajaan Malaysia akan diadakan tidak lama lagi.

Sementara itu, Profesor Ekonomi Sunway University Dr Yeah Kim Leng berkata perbincangan Anwar dan Musk yang membuahkan hasil itu telah mewujudkan tindak balas rantai yang menyaksikan komitmen selanjutnya dipersetujui antara kedua-dua pihak.

"Selain pelaburan pejabat Tesla di Malaysia yang akan menyumbang kepada pemerkasaan industri EV di Malaysia, satu lagi kerjasama berpotensi yang penting adalah perkhidmatan satelit Starlink yang akan mengurangkan kos Internet dan mengecilkan jurang digital bandar-luar bandar.

"Sambutan positif hasil mesyuarat ini akan turut memberikan sumbangan kecil namun bermakna untuk memperkukuh keyakinan pelabur kepada negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 8:50 PM