PESAWAT Air New Zealand. Foto fail AFP
PESAWAT Air New Zealand. Foto fail AFP
Agensi

Wellington: Seorang lelaki berusia 47 tahun terpaksa bertahan selama enam jam di udara, dalam keadaan kakinya patah, akibat pergolakan udara ketika penerbangan, lapor portal Business Insider.

Difahamkan, mangsa dikenali sebagai Niko, seorang warga Jerman menaiki pesawat Air New Zealand dari Indonesia ke Auckland, Selasa lalu.

Ketika kejadian, Niko yang baru keluar dari tandas berdepan situasi cemas apabila pesawat itu mengalami pergolakan udara, semasa dia mahu ke tempat duduknya.

Seorang rakan yang menjemput Niko di Lapangan Terbang Auckland memberitahu pemberita bahawa, kaki Niko patah pada tulang tibia dan fibula.

Terdapat seorang doktor dalam penerbangan itu, tetapi hanya paracetamol yang ada untuk mengurangkan kesakitan dialami Niko.

Ini bermakna Niko dibiarkan menderita menahan kesakitan sepanjang penerbangan tujuh jam itu.

"Anak kapal meminta beberapa penumpang untuk bergerak dari tempat duduk mereka supaya dia boleh berbaring untuk meletakkan kakinya," kata rakan itu.

Perkhidmatan ambulans tempatan mengesahkan kepada pemberita bahawa mereka berada di lapangan terbang sekitar jam 5.40 pagi selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Air New Zealand turut mengesahkan kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 11:11 AM