Sebahagian penumpang mengalami kecederaan selepas gelora udara yang teruk. FOTO Agensi
Sebahagian penumpang mengalami kecederaan selepas gelora udara yang teruk. FOTO Agensi
Agensi

Buenos Aires: Penumpang yang menjerit dibiarkan berlumuran darah selepas melambung dalam kabin pesawat ketika penerbangan merentasi Atlantik.

Itu pengalaman dialami penumpang pesawat yang menyebabkan 12 pengembara cedera dan seorang patah hidung akibat terhempas ke siling apabila Airbus A330 dinaiki mereka berdepan gelora udara yang teruk.

Portal The Sun UK melaporkan, beg pakaian dan komputer riba terlempar ke sekeliling kabin ketika episod menakutkan pada ketinggian 38,000 kaki.

Gambar media sosial menunjukkan dulang, bantal dan barangan peribadi berselerak di lorong kabin pesawat dan orang ramai yang tercedera ditampal dengan pembalut luka.

kejadian berlaku ketika pesawat Aerolineas Argentinas berlepas dari Madrid pada petang Selasa menuju ke Buenos Aires.

Kebanyakan 271 penumpang ketika itu sedang tidur apabila pesawat digegarkan gegaran gelora udara di luar pantai Brazil, kata syarikat penerbangan itu.

Syarikat penerbangan itu berkata, tanda tali pinggang keledar dihidupkan pada masa itu dan pengumuman sudah dibuat.

Penumpang Adrian Torres memberitahu El Pais, "Kami terbang kira-kira tujuh jam dan hampir semua tidur, kerana pada masa itu hampir jam 3 pagi di Sepanyol.

"Pesawat itu mula bergerak banyak dan saya berkata kepada rakan sekerja saya, 'berapa banyak pergolakan, tali pinggang (keledar)!

"Ketika saya mencari tali pinggang keledar, pesawat itu mengalami pergolakan yang teruk."

Dia berkata, pesawat itu menjunam secara tiba-tiba mengakibatkan dia terlanggar siling dan mengalami lebam.

Seorang lagi penumpang, Esperanza BorrĂ¡s berkata, dia membuka tali pinggang keledarnya untuk masa yang singkat dan tidak mendengar amaran. Dia parah di hidungnya.

Pesawat itu mendarat seperti yang dijadualkan di lapangan terbang Ezeiza berhampiran ibu negara Argentina.

Aerolineas Argentinas berkata, tiga orang dimasukkan ke hospital dan sembilan mengalami kecederaan ringan.

Pesawat itu tidak mengalami sebarang kerosakan yang ketara pada strukturnya, tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 11:55 AM