GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
AFP

Jakarta: Agensi keselamatan udara Indonesia menuntut satu mekanisme pemantauan terhadap kesihatan juruterbang yang lebih baik, selepas siasatan insiden baru-baru ini mendedahkan dua juruterbang pesawat komersial tertidur ketika penerbangan.

Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (KNKT) menggesa Batik Air mewujudkan prosedur terperinci untuk menjalankan pemeriksaan kokpit yang betul dan berkala serta memastikan juruterbang dan kru kabin berehat dengan baik sebelum penerbangan mereka.

Menurut laporan awal KNKT, juruterbang dan pembantu juruterbang tidur serentak selama kira-kira 28 minit semasa penerbangan Batik Air dari Sulawesi Tenggara ke ibu negara pada 25 Januari lalu.

Salah seorang juruterbang tidak berehat secukupnya pada malam sebelum penerbangan, kata laporan itu.

Insiden mengakibatkan berlaku beberapa kesilapan navigasi, namun 153 penumpang Airbus A320 dan empat pramugari tidak mengalami kecederaan sepanjang dua jam 35 minit penerbangan.

Dilaporkan, kira-kira setengah jam selepas pesawat itu berlepas, kapten memaklumkan perlu berehat dan meminta pegawai kedua untuk mengambil alih tugas mengawal pesawat.

Bagaimanapun, ketika melakukan tugas itu, pembantu juruterbang berkenaan tertidur, malah gagal memberi maklum balas terhadap panggilan pusat kawalan di Jakarta.

Laporan terakhir yang direkodkan adalah 28 minit sebelum juruterbang bangun tidur dan menyedari pembantunya terlelap serta pesawat tidak berada di laluan penerbangan yang betul.

Juruterbang itu segera mengejutkan rakan sekerjanya, menjawab panggilan pusat kawalan dan membetulkan laluan penerbangan sebelum selamat mendarat di Jakarta.

Identiti kedua-dua individu itu tidak didedahkan namun penyiasat memaklumkan mereka warganegara Indonesia berusia 32 dan 28 tahun.

Sementara itu, Batik Air yang dihubungi AFP enggan mengulas laporan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 11:26 AM