Jakarta : Pasukan penyiasat Indonesia menafikan nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 mempunyai kaitan dengan kegiatan terrorisme.

Jurucakap Andreas Hananto berkata, pasukannya yang terdiri daripada 10 penyiasat Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional (KNKT) Indonesia tidak menemui sebarang bukti yang menyokong unsur keganasan menjadi punca nahas berkenaan.

Katanya, pihaknya tidak menemui sebarang unsur ancaman dalam rakaman suara kokpit yang sedang disiasat pihaknya.

Ketika disoal sama ada menemui sebarang bukti dalam rakaman itu yang wujudnya unsur keganasan, Hananto menafikannya dan berkata, sekiranya ada unsur keganasan sudah semestinya wujud ancaman dalam sebarang bentuk.

“Dalam keadaan yang kritikal ketika itu, rakaman itu menunjukkan juruterbangnya sedang sibuk menguruskan pesawat.

“Kami sudah mendengar keseluruhan rakaman namun hanya transkrip separuh daripadanya dan mereka hanya mendengar suara juruterbang dan pembantunya sepanjang rakaman itu,” katanya.

Menurutnya, rakaman detik - detik terakhir pesawat itu dipenuhi dengan bunyi enjin dan amaran dan mereka perlu analisa dengan lebih terperinci selepas membuat transkrip penuh untuk mengetahui apa yang berlaku sebenarnya.

Seorang lagi penyiasat KNKT, Nurcahyo Utomo berkata, pihaknya tidak mendengar sebarang bunyi letupan atau tembakan dan buat masa sekarang mereka dapat menolak unsur keganasan.

Katanya, pihaknya mampu mendengar keseluruhan rakaman dalam perakam suara kokpit namun enggan memberikan maklumat detik terakhir sebelum pesawat berkenaan terhempas. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 9:14 PM