BOMBA memadam kebakaran pada kereta susulan serangan Israel di Rafah, selatan Gaza. FOTO Reuters
BOMBA memadam kebakaran pada kereta susulan serangan Israel di Rafah, selatan Gaza. FOTO Reuters
AFP

Gaza: Pemerintah Hamas di Gaza pada Sabtu memberi amaran, operasi tentera Israel yang dirancang rejim zionis itu di Rafah bandar yang terlalu sesak, boleh menyebabkan 'puluhan ribu' korban di bandar itu.

Bandar bahagian selatan Semenanjung Gaza itu adalah tempat perlindungan terakhir bagi penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada minggu ini berkata, beliau sudah mengarahkan tentera bersiap-sedia untuk masuk ke bandar itu, yang sesak dengan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal, ketika memburu mereka yang bertanggungjawab terhadap serangan maut pada 7 Oktober lalu di selatan Israel.

Pengumuman itu menimbulkan kebimbangan kerajaan asing, termasuk Amerika Syarikat (AS) dan agensi bantuan yang bergelut dengan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza akibat perang.

Hamas dalam satu kenyataan berkata, sebarang tindakan ketenteraan akan memberi kesan buruk yang 'boleh membawa kepada puluhan ribu syahid dan cedera jika Rafah diceroboh'.

Kumpulan pejuang Palestin yang mengawal Semenanjung Gaza itu berkata, ia akan menganggap pentadbiran AS, masyarakat antarabangsa dan pendudukan Israel, bertanggungjawab jika perkara itu berlaku.

Rafah, terletak di sempadan selatan Gaza dengan Mesir, menjadi tempat perlindungan terakhir bagi orang awam yang melarikan diri daripada kempen pengeboman Israel tanpa henti di lokasi lain di Semenanjung Gaza.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, kira-kira separuh daripada 2.4 juta penduduk Gaza kini berlindung di bandar itu, dengan ramai yang tidur dalam khemah dan tempat perlindungan sementara, selain kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kekurangan makanan, air dan sanitasi.

Jumaat lalu, ketua Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini berkata, serangan besar Israel di Rafah "hanya boleh membawa kepada lapisan tambahan tragedi yang tidak berkesudahan".

Netanyahu mengarahkan pegawai tentera merangka rancangan untuk 'mengeluarkan' Rafah, selain 'memusnahkan' pejuang Hamas di bandar itu.

Saksi melaporkan, serangan baharu ke atas Rafah pada awal Sabtu, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Palestin mengenai pencerobohan darat yang semakin hampir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2024 @ 11:41 AM