AHLI keluarga mangsa yang terkorban meninggalkan mesej di lorong tempat berlakunya tragedi Itaewon Halloween 2022. FOTO AFP.
AHLI keluarga mangsa yang terkorban meninggalkan mesej di lorong tempat berlakunya tragedi Itaewon Halloween 2022. FOTO AFP.
AFP

Seoul: Ketua polis Seoul didakwa atas tuduhan melakukan kecuaian berhubung tragedi Itaewon Halloween 2022 yang mengorbankan hampir 160 orang.

Dalam tragedi 29 Okt 2022 itu, puluhan ribu orang kebanyakannya golongan berusia 20-an dan 30-an, berhimpun meraikan percutian pasca wabak Covid-19 di Itaewon.

Namun sambutan malam itu bertukar tragedi ngeri apabila orang ramai bersesak di lorong sempit antara bar dan kelab tanpa kawalan yang menyebabkan berlaku rempuhan.

Pejabat Pendakwa Raya Daerah Seoul Barat dalam kenyataan dikeluarkan pada Jumaat berkata, Kim Kwang-ho iaitu Ketua Agensi Polis Metropolitan Seoul (SMPA) didakwa atas kecuaian yang menyebabkan kematian dan kecederaan.

"Sebagai ketua SMPA, beliau didakwa tidak mengambil langkah yang perlu seperti menempatkan anggota mencukupi dan memastikan arahan jelas serta kawalan pada hari kejadian, meskipun boleh meramalkan potensi bahaya yang timbul daripada kesesakan di kawasan hiburan," menurut kenyataan itu yang dipetik The Straits Times.

Pegawai tertinggi polis itu menghadapi perbicaraan tanpa ditahan.

Kenyataan itu menyebut "Kim bersama ketua Balai Polis Yongsan dan ketua pejabat Wad Yongsan yang sedang dalam perbicaraan, secara kolektif menyebabkan kematian 158 individu dan kecederaan kepada 312 individu akibat kecuaian."

Pada Januari 2023, pasukan penyiasat khas mengemuka kertas siasatan terhadap Kim dan 22 pegawai polis, penyelamat dan pegawai daerah kepada pihak pendakwaan atas tuduhan salah laku berhubung tragedi itu.

Pendakwa raya kemudiannya mendakwa ketua balai polis daerah Yongsan, Seoul, termasuk Itaewon dan pejabat Wad Yongsan, tetapi tidak memutuskan untuk mendakwa Kim selama lebih setahun.

Keluarga mangsa memaklumkan kesal dengan pihak pendakwaan yang mengambil masa lama untuk mendakwa Kim.

"Ketua Kim mesti segera meletakkan jawatannya dan menghadapi perbicaraan," kata keluarga mangsa dalam satu kenyataan.

Mereka juga mahu Presiden Yoon Suk-yeol mengambil perhatian dan memecat Kim dengan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 3:42 PM