ASAP dan kebakaran susulan serangan udara Israel di Gaza. FOTO Reuters
ASAP dan kebakaran susulan serangan udara Israel di Gaza. FOTO Reuters
AFP

Gaza: Kerajaan Hamas memaklumkan tentera Israel melakukan pengeboman pada malam Ahad di sekitar beberapa hospital di utara Semenanjung Gaza, sejurus selepas telekomunikasi di wilayah itu disekat.

"Selama lebih sejam, pengeboman hebat berlaku di sekitar hospital," kata Salama Marouf, ketua pejabat media kerajaan Hamas.

Menurut Salama, persekitaran di hospital terbesar wilayah Palestin itu, Hospital Al-Shifa, menyaksikan serangan yang sangat hebat.

Pengeboman itu berlaku selepas tentera Israel sekali lagi menuduh Hamas menggunakan hospital dalam kempen ketenteraan mereka terhadap Israel.

"Hamas meletakkan pasukan dan senjata di dalam, di bawah dan di sekitar sekolah, masjid, rumah serta kemudahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," kata jurucakap tentera Israel Daniel Hagari kepada pemberita.

Dalam sidang media, Daniel memaparkan imej yang dikatakannya menunjukkan pejuang Hamas melepaskan tembakan dari hospital Gaza dan tapak pelancaran peluru berpandu yang terletak hanya 75 meter dari hospital.

"Antara jenayah perang Hamas yang paling teruk ialah penggunaan hospital untuk menyembunyikan infrastruktur keganasan mereka," katanya.

Hamas bagaimanapun berulang kali menafikan tuduhan itu dan pada awal Ahad berkata, pihaknya terbuka untuk membenarkan pemantau antarabangsa memeriksa hospital untuk tanda penggunaan oleh pejuang.

Sementara itu, Israel tidak henti menyerang Semenanjung Gaza yang terkepung, meratakan bandar dan membunuh lebih 9,700 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas.

Dakwa pihak berkuasa Israel, serangan ke atas Gaza berlaku selepas kumpulan bersenjata Hamas merentasi sempadan pada 7 Oktober dan membunuh 1,400 individu, kebanyakannya orang awam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 10:18 AM