ANTARA bayi yang diselamatkan selepas doktor menjalankan pembedahan Caesarean kecemasan yang dijalankan oleh doktor di hospital di Gaza. FOTO X
ANTARA bayi yang diselamatkan selepas doktor menjalankan pembedahan Caesarean kecemasan yang dijalankan oleh doktor di hospital di Gaza. FOTO X
Agensi

Gaza: Seorang bayi Palestin diselamatkan menerusi pembedahan Caesarean kecemasan yang dilakukan oleh doktor di Hospital Naser di Gaza, ke atas seorang ibu yang terbunuh dalam serangan udara Israel, lapor agensi berita Wafa.

Campur tangan kritikal ini perlu kerana Raneem Hijazi dalam keadaan sarat hamil apabila dia menjadi mangsa serangan udara Israel yang menyasarkan Khan Yunis, di selatan Semenanjung Gaza.

Dr Asa'd Al-Nawajha, dari jabatan penjagaan di Hospital Naser, berkata: "Kami menghadapi kisah kemanusiaan tragis yang berulang di Semenanjung Gaza akibat pengeboman Israel."

Tambahnya, ibu bayi itu, Raneem, serta-merta dibawa ke Hospital Naser untuk menyelamatkan nyawa bayi wanita itu.

Pembedahan dijalankan serta-merta, selepas itu bayi itu dimasukkan ke dalam inkubator dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Raneem adalah antara hampir satu juta individu yang terpaksa mengosongkan rumah mereka dan mencari perlindungan di wilayah selatan Semenanjung Gaza, lapor Wafa.

Menurut laporan Kementerian Kesihatan, sekurang-kurangnya 130 bayi pramatang yang bergantung kepada inkubator berdepan risiko kematian, kerana bekalan bahan api kehabisan dan bekalan elektrik berkurangan.

Selain itu, kira-kira 50,000 ibu mengandung menghadapi kesukaran untuk mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan kerana serangan terhadap kemudahan perubatan dan hospital.

Israel melancarkan kempen pengeboman tanpa henti di Semenanjung Gaza berikutan penyusupan mengejut pejuang Palestin ke bandar-bandar sekitar enklaf itu, meletakkan 2.3 juta penduduk wilayah itu di bawah pengepungan total dan sekatan bekalan makanan, bahan api dan perubatan.

Lebih 6,500 rakyat Palestin terbunuh setakat ini dalam krisis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 8:50 AM