ISMAIL Haniyeh. FOTO fail AFP
ISMAIL Haniyeh. FOTO fail AFP
AFP

Gaza: Ketua Hamas, Ismail Haniyeh sedia melawat Mesir hari ini untuk berunding mengenai gencatan senjata di Gaza dan pertukaran tahanan dengan Israel, kata sumber terdekat dengan kumpulan pejuang Palestin terbabit.

Haniyeh yang berpangkalan di Qatar akan mengetuai delegasi `pimpinan tertinggi' Hamas ke Mesir, yang mana beliau dijangka mengadakan perbincangan dengan ketua perisikan Mesir, Abbas Kamel dan pihak lain, kata sumber itu kepada AFP, semalam.

"Agenda perbincangan adalah `bagi menghentikan pencerobohan dan menyediakan perjanjian bagi pembebasan tawanan dan menamatkan kepungan berterusan ke atas Semenanjung Gaza," kata sumber itu yang enggan identitinya didedahkan.

Perjanjian gencatan senjata di Gaza yang bertahan selama seminggu pada bulan lalu, disokong Mesir dan Amerika Syarikat (AS), selain dibantu Qatar.

Seramai 80 tebusan Israel dibebaskan sebagai pertukaran membabitkan 240 warga Palestin yang ditahan di penjara Israel.

Menurut sumber Hamas, rundingan di Mesir akan memberi tumpuan kepada penyaluran bantuan kemanusiaan, pengunduran tentera Israel dari Semenanjung Gaza dan pemindahan semula penduduk yang dipindahkan ke bandar dan kampung di bahagian utara.

Kunjungan Haniyeh itu bakal menjadi lawatan kali kedua beliau ke Mesir sejak permulaan perang pada 7 Oktober lalu, selepas lawatan pertamanya pada awal November lalu.

Laman berita AS, Axios, pada Isnin melaporkan, Ketua Perkhidmatan Perisikan Mossad, David Barnea bertemu dengan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman al Thani dan Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), William Burns di Eropah untuk membincangkan perjanjian baharu yang berpotensi bagi membebaskan tebusan.

Semalam, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, beliau menghantar ketua Mossad itu ke Eropah sebanyak dua kali untuk mempromosikan proses pembebasan tebusan mereka.

"Tugas kita adalah untuk membawa mereka semua pulang," katanya dalam satu kenyataan.

Ketika bertemu keluarga tebusan semalam, Netanyahu berkata, 'menyelamatkan mereka adalah tugas yang amat besar'.

Lewat malam tadi, kumpulan Jihad Islam berkongsi rakaman video menunjukkan dua tebusan yang masih hidup dan berada dalam tahanan di Gaza.

Tebusan terbabit dibawa ke wilayah itu ketika serangan dilancarkan Hamas ke atas Israel, 7 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 10:18 AM