Majlis Keselamatan PBB. FOTO fail Reuters
Majlis Keselamatan PBB. FOTO fail Reuters
AFP

New York: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau UNSC pada Isnin menerima pakai resolusi yang digubal Amerika Syarikat (AS) bagi menyokong rancangan gencatan senjata di Gaza, ketika Washington mengetuai kempen diplomatik yang sengit untuk mendesak Hamas menerima cadangan itu.

Teks itu - diluluskan dengan 14 undi menyokong dan Rusia, berkecuali - "menyambut" cadangan gencatan senjata dan pembebasan tebusan yang diumumkan pada 31 Mei oleh Presiden AS Joe Biden, dan menggesa "pihak untuk melaksanakan sepenuhnya tanpa berlengah-lengah dan tanpa syarat."

Resolusi itu mengatakan Israel menerima rancangan gencatan senjata itu, dan "menyeru Hamas untuk turut menerimanya."

Hamas pada Isnin berkata, ia "mengalu-alukan" undian itu.

AS, sekutu setia Israel, dikritik secara meluas kerana menyekat beberapa draf resolusi PBB sebelum ini mengenai gesaan gencatan senjata di Gaza.

Tetapi Biden pada lewat bulan lalu melancarkan usaha baharu baharu untuk mendapatkan gencatan senjata dan pembebasan tebusan.

"Hari ini kami mengundi untuk keamanan," kata duta AS, Linda Thomas-Greenfield selepas sesi di PBB.

"Hari ini, Majlis ini menghantar mesej jelas kepada Hamas: terima perjanjian gencatan senjata di atas meja. Israel sudah bersetuju dengan perjanjian ini dan pertempuran boleh dihentikan hari ini jika Hamas akan melakukan perkara yang sama."

Bagaimanapun, perjanjian itu masih tidak menentu kerana pegawai Hamas menegaskan bahawa sebarang perjanjian gencatan senjata mesti menjamin penamatan kekal kepada perang – tuntutan yang ditolak dengan tegas oleh Israel kerana ikrar untuk memusnahkan Hamas dan membebaskan tawanan yang tinggal.

Di bawah cadangan itu, Israel akan berundur dari kawasan berpenduduk di Gaza dan Hamas akan membebaskan tebusan. Gencatan senjata itu pada awalnya akan berlangsung selama enam minggu, dengan ia dilanjutkan apabila perunding berusaha untuk menamatkan permusuhan secara kekal.

"Teks itu tidak sempurna," kata Duta PBB Algeria, Amar Bendjama. "Tetapi ia menawarkan secebis harapan kepada rakyat Palestin, kerana alternatifnya ialah pembunuhan dan penderitaan yang berterusan."

Selepas pengundian, diplomat Israel, Reut Shapir Ben Naftaly menekankan bahawa "perang akan berakhir" hanya apabila "matlamat Israel tercapai," termasuk pembebasan tebusan dan pemusnahan Hamas.

"Keengganan Hamas untuk membebaskan tebusan melalui diplomasi membuktikan bahawa usaha untuk membawa pulang tebusan kami mesti termasuk cara ketenteraan," katanya.

Sementara itu, utusan Palestin ke PBB, Riyad Mansour, mengalu-alukan undian majlis itu, dengan menyatakan bahawa "beban" untuk melaksanakan resolusi dan gencatan senjata "adalah di pihak Israel."

Serangan Hamas ke atas selatan Israel, mengakibatkan kematian 1,194 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.

Serangan balas Israel membunuh sekurang-kurangnya 37,124 orang di Gaza, kebanyakannya orang awam, menurut kementerian kesihatan wilayah kendalian Hamas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 7:55 AM