WANITA berhimpun di Tel Aviv, menuntut kerajaan Israel segera melakukan perjanjian membebaskan tahanan yang diberkas Hamas. FOTO AFP.
WANITA berhimpun di Tel Aviv, menuntut kerajaan Israel segera melakukan perjanjian membebaskan tahanan yang diberkas Hamas. FOTO AFP.
Agensi

Tel Aviv: Penunjuk perasaan berhimpun beramai-ramai hingga menghalang laluan utama Tel Aviv iaitu Lebuhraya Ayalon pada petang Rabu, mendesak rundingan baharu bagi membebaskan tahanan Israel di Gaza.

Sehari selepas tunjuk perasaan diketuai wanita itu yang menutup banyak jalan di bandar berkenaan, kira-kira 5,000 orang pula berkumpul di Persimpangan Kaplan, membuat tuntutan sama sambil melaungkan "Hentikan dunia. Abang, adik kami di sana".

Himpunan itu yang disifatkan tidak pernah berlaku sebelum ini, menyebabkan lalu lintas terhalang selain, berlaku pertempuran antara penunjuk perasaan dengan pihak berkuasa.

Puluhan orang juga berdemonstrasi di Jalan King George sambil melaungkan "Ahli keluarga perempuan kami menjadi tebusan, wanita turun ke jalanan.

Kumpulan protes wanita itu berkata, mereka bersatu dan sepakat untuk tidak lagi berdiam diri sebaliknya, memilih jalanan untuk bersuara mendesak supaya tahanan dikembalikan.

"Wanita tetap menjadi insan yang mengubah realiti dan kami akan melakukannya untuk kali ini juga.

"Kami marah dan terluka dengan apa yang berlaku tetapi untuk pertama kali, ada harapan... marilah semua wanita pelbagai sektor bersatu, desak kabinet supaya segera aturkan perjanjian membebaskan tahanan," kata mereka dalam kenyataan.

Sementara itu, lebih 10 kenderaan polis dan puluhan pegawai dikerah menyuraikan penunjuk perasaan di Persimpangan Karkur di utara Israel, lapor laman berita Ynet.

Kira-kira 100 penunjuk perasaan turut menyekat Dizengoff/King George Junction di Tel Aviv, manakala puluhan orang menghalang laluan Glilot Junction di utara bandar itu, kata laporan itu.

Aktivis lain juga cuba menghalang bantuan kemanusiaan daripada dibawa masuk ke Gaza pada Rabu, mengatakan Israel tidak seharusnya memudahkan kemasukannya sehingga tebusan Israel dibebaskan.

Hanya sembilan daripada 60 trak yang tiba di sempadan Kerem Shalom berjaya melaluinya, sementara baki 51 lagi kembali semula ke Mesir selepas menunggu selama enam jam.

Protes itu dilancarkan ketika media melaporkan Israel dan Hamas masih dalam rundingan yang dikendalikan Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar untuk gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan.

Bagaimanapun, pegawai Israel menolak dakwaan, rundingan dengan Hamas sedang dilakukan.

Hamas menuntut Israel membebaskan semua rakyat Palestin yang ditahan sejak sekian lama termasuk banduan yang disabitkan dalam serangan maut ke atas Israel serta yang diculik ketika perang bermula 7 Oktober lalu.

Mereka juga mahu serangan Israel ditamatkan dan pengunduran semua tentera Israel dari Gaza secara kekal.

Difahamkan, 132 tahanan Israel masih berada di Gaza selepas 105 orang awam dibebaskan semasa gencatan senjata selama seminggu pada penghujung November lalu.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengesahkan 28 penduduknya yang ditahan Hamas, maut, memetik risikan dan penemuan baru yang diperoleh tentera yang beroperasi di Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 3:51 PM