PEJUANG Palestin melancarkan roket ke arah Israel dari Rafah. FOTO AFP
PEJUANG Palestin melancarkan roket ke arah Israel dari Rafah. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Israel bersedia untuk kemungkinan serangan darat ke atas Gaza.

Jurucakap tentera Israel, Richard Hecht berkata, tentera sedang bersedia untuk arahan yang berpotensi untuk melancarkan pencerobohan darat dalam perang dengan Hamas.

"Ini belum diputuskan lagi... tetapi kami sedang bersiap sedia untuk gerakan darat jika diputuskan.

"Sekarang ini kami memberi tumpuan untuk mengambil kepimpinan kanan mereka," katanya.

Dalam kenyataan umum pertamanya sejak Hamas menyerang Israel, Presiden Palestin Mahmud Abbas menggesa agar "pencerobohan menyeluruh terhadap rakyat Palestin dihentikan segera".

Jet pejuang dan dron Israel terbang di atas Gaza dalam pengeboman tanpa henti yang memusnahkan beribu-ribu bangunan, manakala Hamas kini melepaskan lebih 5,000 roket ke Israel dari Gaza, kata tentera Israel.

Semalam, portal The National yang memetik Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) melaporkan satu-satunya loji jana kuasa Gaza sudah ditutup sepenuhnya.

Israel mengenakan pengepungan menyeluruh ke atas Gaza dan memutuskan bekalan elektrik ke kawasan itu selepas kumpulan pejuang Hamas yang mentadbir Gaza, membunuh lebih 1,200 warga Israel dalam serangan mengejut pada Sabtu merentas sempadan ke wilayah diduduki secara haram oleh Zionis.

"Rakan sekerja kami di Gaza berkongsi berita yang menyedihkan bahawa satu-satunya loji jana kuasa berhenti beroperasi," kata penasihat media ICRC untuk Timur Tengah, Jessica Moussan.

Hisham Mhanna, wakil ICRC di Gaza, pada awal Rabu memberitahu The National, penduduk di Gaza akan 'tersingkir dari dunia'.

"Jika tiada kuasa yang mencukupi untuk memastikan hospital beroperasi, rangkaian telekomunikasi dan Internet di seluruh bandar, maka orang ramai akan 'terputus' dari dunia.

"Ini akan memberi kesan kepada bekalan elektrik kepada isi rumah di Gaza yang kini hampir sifar kerana kekurangan sumber kuasa dan terdapat kerosakan teruk kepada infrastruktur," katanya.

"Sesetengah hospital, bukan semua, masih mempunyai sistem solar atau penjana tetapi ia memerlukan bahan api untuk memastikan boleh beroperasi... dijangka akan kehabisan pada bila-bila masa," katanya.

Laluan sempadan ke Gaza sudah disekat oleh Israel, bermakna bekalan perubatan dan makanan semakin berkurangan, serta bahan api.

Tindakan itu juga akan memberi kesan buruk terhadap penyediaan air dan penjagaan kesihatan di Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 9:52 AM