SISTEM pertahanan Iron Dome milik Israel memintas roket yang dilancarkan dari Gaza. FOTO AFP
SISTEM pertahanan Iron Dome milik Israel memintas roket yang dilancarkan dari Gaza. FOTO AFP
Agensi

Gaza: Satu-satunya loji jana kuasa Gaza sudah ditutup sepenuhnya, kata Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) pada Rabu.

Israel mengenakan pengepungan menyeluruh ke atas Gaza dan memutuskan bekalan elektrik ke kawasan itu selepas kumpulan pejuang Hamas yang mentadbir Gaza, membunuh lebih 1,200 warga Israel dalam serangan mengejut pada Sabtu merentas sempadan ke wilayah diduduki secara haram oleh Zionis.

Kekurangan bekalan elektrik berisiko menambahkan lagi krisis kemanusiaan di Gaza, di mana sekurang-kurangnya 900 orang terbunuh akibat serangan udara Israel, sejak meletusnya perang.

"Rakan sekerja kami di Gaza berkongsi berita yang menyedihkan bahawa satu-satunya loji jana kuasa berhenti beroperasi," kata penasihat media ICRC untuk Timur Tengah, Jessica Moussan kepada The National.

"Ini meletakkan perkhidmatan kemudahan kritikal seperti hospital berisiko tinggi, penduduk semakin terasing dan ia memburukkan lagi kesukaran yang dihadapi oleh penduduk Gaza dalam masa sangat sukar ini," katanya.

Hisham Mhanna, wakil ICRC di Gaza, pada awal Rabu memberitahu The National, penduduk di Gaza akan 'tersingkir dari dunia'.

"Jika tiada kuasa yang mencukupi untuk memastikan hospital beroperasi, rangkaian telekomunikasi dan Internet di seluruh bandar, maka orang ramai akan 'terputus' dari dunia.

"Ini akan memberi kesan kepada bekalan elektrik kepada isi rumah di Gaza yang kini hampir sifar kerana kekurangan sumber kuasa dan terdapat kerosakan teruk kepada infrastruktur," katanya.

"Sesetengah hospital, bukan semua, masih mempunyai sistem solar atau penjana tetapi ia memerlukan bahan api untuk memastikan boleh beroperasi... dijangka akan kehabisan pada bila-bila masa," katanya.

Laluan sempadan ke Gaza sudah disekat oleh Israel, bermakna bekalan perubatan dan makanan semakin berkurangan, serta bahan api.

Tindakan itu juga akan memberi kesan buruk terhadap penyediaan air dan penjagaan kesihatan di Gaza.

"Banyak hospital dan pusat penjagaan perubatan tidak beroperasi sekarang kerana sebahagian daripadanya memang rosak atau sebahagian lagi rosak dalam pertempuran. Hospital semakin kehabisan bekalan perubatan," kata Mhanna.

Mhanna berkata demikian ketika pengeboman rejim Zionis turut menyasarkan bangunan berhampiran dengan lokasi dia ditempatkan sebagai wakil ICRC di Gaza.

Perang itu sudah meragut sekurang-kurangnya 2,100 nyawa di kedua-dua belah pihak.

Setakat ini, lebih 263,000 mangsa perang terpaksa meninggalkan rumah mereka di Semenanjung Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 11:31 AM