GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

Tokyo: Budak lelaki berusia dua tahun di bandar Tsuyama, meninggal dunia selepas ditinggalkan di dalam kereta selama sekurang-kurangnya sembilan jam, dalam keadaan cuaca panas di Jepun.

The Straits Times melaporkan nenek budak itu, Setsuko Shibata, 53, sudah ditahan kerana disyaki melakukan kecuaian sehingga menyebabkan kematian mangsa, lapor media tempatan pada Ahad lalu.

Pembantu penjagaan warga emas, mengaku meninggalkan Haruto Mese di dalam kereta, pada Sabtu, ketika dia pergi bekerja, kata polis wilayah Okayama.

Asahi Shimbun pada Ahad melaporkan bahawa Shibata memberitahu polis dia terlupa bahawa cucunya berada di dalam kereta.

Laporan Asahi Shimbun dipetik, budak lelaki itu ditinggalkan di dalam kereta antara 8.15 pagi dan 5.40 petang.

Memetik ulasan polis, The Yomiuri Shimbun melaporkan bahawa nenek itu berkata, dia terlupa untuk menghantar budak lelaki itu di pusat jagaan.

Kereta itu diletakkan di hospital tempat Shibata bekerja, tambahnya.

The Yomiuri Shimbun memetik Agensi Meteorologi Jepun melaporkan, suhu di bandar itu pada hari kejadian mencecah 31.7 darjah Celsius.

Pada hari itu, Shibata dilaporkan sepatutnya membawa cucunya ke pusat jagaan selepas mengambil Mese di rumah anak perempuannya yang tinggal di kawasan kejiranan sama.

Bagaimanapun, selepas Shibata menjemput Mese dari rumah anak perempuannya, dia sebaliknya terus pergi ke tempat kerja di hospital, lapor media tempatan.

Shibata menyedari bahawa budak lelaki itu ditinggalkan di tempat duduk belakang keretanya hanya selepas dia menamatkan kerja.

Mese tidak memberikan sebarang reaksi apabila Shibata menemuinya di dalam kereta itu.

Budak itu ditemukan bersandar di kerusi kanak-kanak dengan tali pinggang keledar, lapor The Yomiuri Shimbun.

Shibata kemudian menghubungi rakan sekerja untuk meminta bantuan kecemasan, bagaimanapun Mese kemudiannya disahkan meninggal dunia.

Polis percaya budak lelaki itu mengalami strok haba kerana dia tidak mengalami kecederaan luaran, lapor The Yomiuri Shimbun.

Terdahulu, Agensi Meteorologi Jepun berkata, negara itu pada September mengalami musim panas paling panas sejak rekod bermula pada 1898.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 10:43 AM