FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Tokyo: Akibat sudah lama memakai pelitup muka menyebabkan sebahagian warga Jepun terpaksa mendapatkan bantuan pakar senyuman pakar untuk mempelajari semula cara untuk senyum.

The Guardian melaporkan, sejak kerajaan menarik kewajipan memakai pelitup muka untuk membantu mencegah penularan Covid-19, ramai orang mengakui bergelut untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan tanpa pelitup muka, dengan segelintirnya mengaku terlupa cara untuk tersenyum.

"Menerusi pemakaian pelitup muka sudah menjadi kebiasaan, orang ramai mempunyai lebih sedikit peluang untuk tersenyum...

"Menggerakkan dan merehatkan otot muka adalah kunci untuk mendapatkan senyuman menawan.

"Saya mahu orang ramai meluangkan masa untuk tersenyum secara sedar untuk kesejahteraan fizikal dan mental mereka," kata jurulatih syarikat pendidikan senyuman Egaoiku, Keiko Kawano, kepada Asahi Shimbun.

Dalam sesi bimbingan, peserta menggunakan cermin dipegang dengan tangan untuk melihat kemajuan mereka, dengan segelintirnya melaraskan ekspresi mereka sehingga berpuas hati apabila 'menemui semula' senyuman.

Egaoiku menyaksikan jumlah pemohon meningkat sebanyak 4.5 kali ganda selepas Jepun mengkategorikan semula Covid-19 sebagai selesema pada Februari lalu.

Sebulan kemudian, kerajaan berkata, pemakaian pelitup muka adalah pilihan individu, dan menurunkan klasifikasi bahaya virus pada bulan Mei.

Salah seorang peserta, Akiko Takizawa, 79, mengakui teruja untuk kembali ke kehidupan sebelum memakai pelitup muka dengan sedikit bantuan daripada jurulatih senyumannya.

"Saya tidak mempunyai peluang untuk melihat orang semasa wabak Covid-19 dan tidak tersenyum di khalayak ramai

"Ia mengingatkan saya betapa pentingnya senyuman," katanya kepada akhbar Mainichi Shimbun.

Kawano sering muncul di kaca televisyen dan media sosial, sudah melatih lebih 4,000 orang dalam seni senyuman sejak enam tahun lalu serta membantu ratusan yang lain menjadi pakar senyuman bertauliah.

Dia kini menyelia 20 jurulatih yang menjalankan kelas di seluruh Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 11:57 AM