SEJUMLAH dadah yang ditemui dalam pakaian dalam dua wanita selepas ditahan di Lapangan Terbang Haneda, Jepun, semalam. FOTO Ihsan The Asahi Shimbun
SEJUMLAH dadah yang ditemui dalam pakaian dalam dua wanita selepas ditahan di Lapangan Terbang Haneda, Jepun, semalam. FOTO Ihsan The Asahi Shimbun
Hasbi Sidek


DUA wanita warga Malaysia ditahan Jabatan Polis Metropolitan dan Kastam Tokyo di Lapangan Terbang Haneda, Jepun kerana disyaki menyeludup dadah yang disorokkan dalam pakaian dalam, semalam, lapor portal berita The Asahi Shimbun.

Menurut Badan Kawalan Jenayah Terancang, wanita berusia 20 dan 22 tahun itu membawa lapan peket dadah dianggarkan seberat 1.5 kilogram dengan nilai kira-kira 90 juta Yen (RM3.25 juta).

Kedua-dua wanita itu mengaku menyeludup dadah jenis ‘stimulant’ dengan menyembunyikannya dalam tuala wanita, seluar dalam dan coli mereka.

Mereka dipercayai berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang menuju ke Lapangan Terbang Haneda.

Pegawai Kastam Tokyo yang mendapati suspek dalam keadaan mencurigakan membuat pemeriksaan rapi sebelum menemui dadah berkenaan.

Difahamkan, kedua-dua wanita berkenaan adalah rakan sekerja di sebuah hotel berkata, mereka pertama kali datang ke Jepun dengan visa jangka pendek.

Mereka diberikan dadah oleh seseorang yang mengarahkan mereka berbuat demikian di Kuala Lumpur, dakwa Jabatan Polis Metropolitan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 3:01 PM