BERNAMA

London: Singapura kini secara rasminya menjadi pasport paling berkuasa di dunia, di mana rakyatnya boleh melakukan perjalanan tanpa visa ke 192 daripada 227 destinasi di seluruh dunia.

Berdasarkan data eksklusif dan rasmi daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) yang didedahkan Henley Passport Index, Jepun telah tersingkir dari kedudukan teratas dalam indeks berkenaan buat pertama kali dalam tempoh lima tahun dan jatuh ke tempat ketiga.

Jerman, Itali dan Sepanyol naik ke tempat kedua dengan akses tanpa visa ke 190 destinasi dan pemegang pasport Jepun menyertai enam negara lain — Austria, Finland, Perancis, Luxembourg, Korea Selatan dan Sweden — di tempat ketiga dengan akses ke 189 destinasi tanpa visa.

Berdasarkan data itu, United Kingdom (UK) akhirnya mengubah kedudukan selepas merosot selama enam tahun, melonjak dua anak tangga kepada kedudukan terkini iaitu tempat keempat.

Bagaimanapun, Amerika Syarikat (AS) terus meluncur ke bawah indeks selama sedekad, menjunam dua tempat lagi ke tempat kelapan yang mempunyai akses kepada hanya 184 destinasi tanpa visa.

Kedua-dua UK dan AS bersama-sama memegang tempat pertama dalam indeks hampir 10 tahun yang lalu pada 2014, tetapi telah berada pada trajektori menurun sejak itu.

Afghanistan kekal berada di bahagian bawah Henley Passport Index, dengan skor akses tanpa visa hanya 27, diikuti Iraq (skor 29) dan Syria (skor 30) — tiga pasport paling lemah di dunia.

Pengerusi Henley & Partners, Dr Christian H Kaelin berkata, jurang mobiliti global antara mereka yang berada di bahagian atas dan bawah indeks kini lebih luas berbanding sebelum ini, dengan Singapura yang berada di kedudukan teratas boleh mengakses melebihi 165 destinasi tanpa visa berbanding Afghanistan.

"Hanya lapan negara di seluruh dunia yang kurang mempunyai akses tanpa visa hari ini berbanding sedekad yang lalu, manakala negara lain lebih berjaya memperoleh kebebasan perjalanan yang lebih tinggi untuk rakyat mereka.

"Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah menambah 107 destinasi yang mengagumkan kepada skor tanpa visanya sejak 2013, melonjak tinggi sebanyak 44 tempat dalam kedudukan sejak 10 tahun lalu, daripada kedudukan ke-56 ke kedudukan ke-12.

"Daripada negara yang menduduki tempat 10 Teratas, AS telah mencapai peningkatan terkecil dalam skornya, hanya memperoleh 12 destinasi tambahan. Singapura, sebagai perbandingan, telah meningkatkan markahnya sebanyak 25, melonjak lima anak tangga sejak 10 tahun lalu ke nombor satu," katanya dalam kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2023 @ 6:30 PM