SEORANG lelaki berjalan melewati sebuah rumah yang musnah dibom di perkampungan Bohdanivka utara Kyiv, Ukraine.
SEORANG lelaki berjalan melewati sebuah rumah yang musnah dibom di perkampungan Bohdanivka utara Kyiv, Ukraine.
minda

Tahun lalu, sekatan perjalanan dan penutupan sempadan mempengaruhi kedudukan senarai pasport paling berkuasa di dunia. Untuk tahun ini, kedudukan itu dijangka akan dipengaruhi pula oleh konflik Rusia-Ukraine yang masih berlanjutan sehingga kini.

Ini berdasarkan senarai pasport paling berkuasa dunia 2022, Indeks Pasport Henley.

Mungkin ramai yang tidak tahu apa itu Indeks Pasport Henley? Ia adalah senarai yang membandingkan akses tanpa visa membabitkan 199 pasport ke 227 destinasi.

Jika tiada visa diperlukan, skor 1 akan diberikan kepada mana-mana pasport. Skor sama diberikan jika pemegang pasport boleh mendapatkan visa semasa ketibaan (VOA), permit lawatan atau electronic travel authority (ETA) apabila memasuki mana-mana destinasi.

Jika visa diperlukan atau situasi di mana pemegang pasport perlu mendapatkan visa elektronik (e-visa) sebelum pelepasan dari destinasi asal, skor 0 akan diberikan. Skor sama juga untuk mana-mana destinasi yang memerlukan pemegang pasport mendapatkan visa daripada kerajaan di destinasi ketika prapelapasan.

Indeks ini menggunakan 'destinasi' dan bukan 'negara' kerana ia turut membabitkan wilayah seperti Hong Kong yang mempunyai sistem pentadbiran berasingan meskipun sebahagian daripada China. Selain itu, ia membabitkan destinasi yang statusnya masih belum diperakui oleh semua negara atau bukan negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti Taiwan.

Jadi berbalik kepada kesan konflik Rusia dan Ukraine, kedudukan senarai pasport paling berkuasa ini dijangka berubah apabila kebanyakan negara meminda polisi terhadap kemasukan pengembara dari Ukraine dan Rusia.

Ini sebenarnya sebagai satu tindak balas kepada tindakan Rusia menyerang negara jirannya itu. Ketika ini, banyak negara mengumumkan sekatan demi sekatan kepada Rusia. Ia menjadikannya negara yang paling banyak dikenakan sekatan di dunia, sekali gus mengatasi sekatan global terhadap Iran, Syria dan Korea Utara.

Menurut laporan CNN, sejak pencerobohan Rusia, banyak negara meminda peraturan kemasukan atau memberikan pengecualian berhubung visa untuk pemegang pasport Ukraine. Konflik itu memaksa penduduk Ukraine melarikan diri ke banyak negara terutama di negara jirannya di Eropah.

Pada masa sama, negara anggota Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat dan Kanada pula mengumumkan larangan kepada pesawat Rusia daripada menggunakan ruang udara negara berkenaan.

Menurut laporan Henley & Partners iaitu firma yang menerbitkan Indeks Pasport Henley, beberapa destinasi tidak lagi mengeluarkan visa untuk pemegang pasport Rusia. Laporan sama menegaskan bahawa walaupun kesan kepada pemegang pasport Rusia itu tidak dilihat pada masa sekarang, ia akan dapat disaksikan dalam masa beberapa bulan lagi.

Ini memandangkan tiada petunjuk bahawa perang ini akan tamat dalam masa terdekat. Jadi, berkemungkinan besar, banyak negara akan mengumumkan sekatan terhadap pemegang pasport Rusia.

Apa yang menariknya, laporan sama turut menyatakan bahawa pasport Ukraine sudah naik satu anak tangga kepada kedudukan ke-34 dalam senarai Indeks Pasport Henley.

Ia berdasarkan data yang dikumpulkan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Jadi, pemegang pasport Ukraine sudah boleh mengembara ke 143 destinasi tanpa perlu mempunyai visa atau diberi VOA.

Rusia pada masa sama, turun empat anak tangga ke kedudukan ke-49. Pemegang pasportnya, ketika ini, boleh mengembara ke 117 negara. Menurut Henley & Partners, 'kuasa pasport' ini akan terus menurun jika ada lagi kerajaan yang mengumumkan sekatan perjalanan terhadap pemegang pasport itu.

Namun, pasport Rusia jauh ketinggalan berbanding pasport Malaysia yang pada tahun ini di kedudukan ke-12. Pemegang pasport Malaysia boleh mengembara ke 179 destinasi.

Bagaimanapun, senarai tahun ini menyaksikan pemegang pasport paling berkuasa kekal untuk pasport Jepun dan Singapura, masing-masing dengan kemasukan tanpa visa di 192 destinasi.

Afghanistan pula di tangga tercorot di kedudukan 112 dengan hanya kemasukan tanpa visa ke hanya 26 negara.

   

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2022 @ 7:01 AM