PESAWAT Air New Zealand. FOTO fail AFP
PESAWAT Air New Zealand. FOTO fail AFP
Agensi

Auckland: Lebih 10,000 penumpang yang menaiki pesawat Air New Zealand sepanjang Jun akan diminta untuk menaiki mesin penimbang sebelum mereka menaiki penerbangan, lapor portal The Independent.

Ia akan menyasarkan pengembara penerbangan antarabangsanya untuk mengambil bahagian dalam tinjauan berat penumpang itu.

Ini inisiatif "penting" untuk memastikan "operasi pesawat yang selamat dan cekap", menurut Air New Zealand, dan juga keperluan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam negara itu.

Penumpang untuk penerbangan domestik sudah diminta untuk menimbang berat badan pada 2021, dan kini langkah itu diperluas kepada penumpang penerbangan antarabangsa susulan pembukaan semula sempadan negara itu.

Seperti yang dilaporkan The Independent sebelum ini, langkah itu bertujuan meningkatkan keselamatan dan mengurangkan kesan alam sekitar yang disebabkan oleh setiap penerbangan.

Pada masa ini, syarikat penerbangan menggunakan "andaian jisim", dengan menganggarkan jumlah berat penumpang berdasarkan angka yang sudah ditetapkan.

Syarikat penerbangan itu berusaha untuk meyakinkan penumpang yang mungkin teragak-agak untuk ditimbang berat - sambil memegang bagasi tangan mereka - bahawa tiada apa yang perlu dibimbangkan.

"Kami tahu memijak penimbang boleh menakutkan. Kami ingin meyakinkan pelanggan kami bahawa tiada paparan yang boleh dilihat di mana-mana. Tiada siapa yang boleh melihat berat badan anda - walaupun kami," kata pakar peningkatan kawalan muatan Air New Zealand, Alastair James.

"Ia mudah, ia secara sukarela, dan dengan menimbang, anda akan membantu kami 'menerbangkan' anda dengan selamat dan cekap, setiap masa."

James menjelaskan bahawa sebelum setiap penerbangan berlepas, juruterbang perlu mengetahui jumlah berat muatan.

"Kami menimbang segala yang ada di dalam pesawat, daripada kargo hingga makanan di atas kapal, hingga ke bagasi di dalam simpanan. Untuk pelanggan, kru dan beg kabin, kami menggunakan berat purata, yang kami dapat daripada melakukan tinjauan ini."

Tinjauan akan dilakukan di pintu masuk ke lounge bagi penerbangan Air New Zealand terpilih yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland di sini, sehingga 2 Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 9:22 AM