AHLI keluarga saling berpelukan ketika tiba di New Zealand. FOTO AFP
AHLI keluarga saling berpelukan ketika tiba di New Zealand. FOTO AFP
AFP

Sydney: Penumpang pesawat pertama program tanpa kuarantin wajib Australia-New Zealand teruja mengikuti penerbangan itu untuk bertemu keluarga selepas terpisah akibat pandemik Covid-19.

"(Saya akan) menjerit, menangis, memeluk, mencium, (berasa) gembira - semua emosi ada ketika ini," kata Denise O'Donoghue, 63, kepada AFP di Lapangan Terbang Sydney ketika bersiap menaiki penerbangannya.

Perjalanan itu adalah yang pertama kali selepas hampir 400 hari bagi membolehkan penumpang melintasi Laut Tasman tanpa memerlukan kuarantin wajib Covid-19.

Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern memuji kejayaan kedua-dua negara melaksanakan gelembung perjalanan bebas itu dan berkata, ia adalah hari paling bermakna dan menggembirakan semua orang,

Australia adalah sumber pelancong antarabangsa terbesar untuk New Zealand sebelum penularan pandemik Covid-19 dengan menyumbang kira-kira 1.5 juta kehadiran pelancong atau 40 peratus daripada jumlah pengunjung pada 2019.

Pembukaan gelembung perjalanan itu ini mendapat liputan meluas media di kedua-dua negara, dengan laporan secara langsung stesen televisyen dari lapangan terbang, selaian laporan perkembangan terkini penerbangan itu.

Warga New Zealand, Lorraine Wratt yang dijangkiti Covid-19 ketika melawat keluarga di Australia memberitahu AFP, dia berasa sangat 'luar biasa' apabila dapat melakukan perjalanan rentas negera semula.

"Kami sangat gembira dapat pulang ke rumah tetapi kami akan kehilangan keluarga kami (di Australia) untuk tempoh yang lama.

"Kami datang ke Australia pada 11 Disember lalu untuk menghabiskan Krismas dengan anak kami, merancang kembali (ke New Zealand) pada Februari, ia menjadi mimpi buruk," katanya.

Australia adalah rumah kedua bagi ratusan ribu warga ekspatriat New Zealand sebelum Covid-19 dan mereka banyak berulang-alik ke negara itu dengan penerbangan mengambil masa tiga jam.

Eksekutif Air New Zealand Craig Suckling berkata, suasana di lapangan terbang Sydney sebelum berlepas adalah mengujakan dan seakan hidup kembali.

"Ini adalah rollercoaster yang penuh emosi di Sydney,"

"Kawasan daftar masuk paling sibuk dan pelanggan nampak seperti tidak sabar untuk masuk," katanya.

Ketua Eksekutif Air New Zealand, Greg Foran berkata, peristiwa itu adalah saat bersejarah bagi mereka yang terbabit dalam industri pelancongan yang dilanda masalah.

"(Ini) titik perubahan sebenar bagi syarikat penerbangan. Ini adalah hari kebangkitan kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 2:13 PM