JIMMY Lai ketika ditahan pada 2020. FOTO Agensi.
JIMMY Lai ketika ditahan pada 2020. FOTO Agensi.
Agensi

Washington: Anak kepada pengamal media Hong Kong, Jimmy Lai yang dipenjarakan atas tuduhan bersubahat dengan kuasa asing menyelar kerajaan United Kingdom sebagai sangat lemah.

Ini kerana, pihak berkuasa terbabit dikatakan gagal mengutuk dan bertindak menentang tindakan keras terhadap perbezaan pendapat di tanah besar China, lapor Independent UK.

Pengasas akhbar Apple Daily dipenjarakan berikutan kes berprofil tinggi yang difailkan oleh pihak berkuasa Hong Kong selepas tindakan kerasnya terhadap gerakan pro-demokrasi.

Jimmy, 75, dituduh bersubahat dengan kuasa asing dan didakwa dengan hasutan di bawah undang-undang keselamatan negara berkenaan.

Anak lelakinya, Sebastien Lai mendakwa beberapa negara berdiam diri kerana mempunyai hubungan perdagangan dengan China.

"Kami berterima kasih kepada rakyat Amerika Syarikat yang lebih kuat dalam nilai ini (hak asasi) berbanding kerajaan UK. Kerajaan UK sangat lemah.

"Amat menyedihkan melihat kerajaan demokratik takut mempertahankan salah seorang rakyatnya yang berada di penjara kerana kebebasan bersuara.

"Ia sangat mengarut," katanya berucap pada satu acara di Washington mengenai situasi hak asasi manusia di Hong Kong.

Sebastien turut mengkritik pentadbiran Rishi Sunak kerana tidak menyeru pihak berkuasa Hong Kong untuk membebaskan bapanya yang juga warga Britain.

Ini berlaku ketika Menteri Pelaburan Britain Dominic Johnson mengadakan beberapa siri mesyuarat dengan pegawai dan eksekutif kerajaan di Hong Kong minggu ini, menandakan lawatan rasmi pertama ke bandar itu dalam tempoh lima tahun.

Terdahulu, anggota kongres AS dan pengerusi jawatankuasa pilihan Dewan Perwakilan mengenai China, Mike Gallagher, mengkritik Vatican kerana tidak bersuara mengenai penahanan Jimmy Lai.

Pada Januari lalu, jurucakap Sunak berkata, Menteri Luar Negeri bertemu pasukan undang-undang Jimmy Lai dan kementerian itu sudah lama menyatakan sokongan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 11:30 AM