Hong Kong: Peserta pertandingan ratu cantik Miss World dari Kanada semalam berkata, dia dihalang memasuki China untuk mewakili negaranya pada acara itu di Hainan.

Anastasia Lin yang berkelahiran China dan lantang bersuara mengenai polisi agama republik itu berkata, dia tidak dibenarkan menaiki pesawat dari Hong Kong ke China selepas dimaklumkan melalui telefon bahawa dia tidak akan diberikan visa apabila tiba di situ.

Anastasia, 25, kerap mempertikaikan polisi keagamaan China selain pengikut Falun Gong - yang diharamkan Parti Komunis pada 1999.

“Adakah mereka kini mula menapis pertandingan ratu cantik? Amat menyedihkan.

“Kerajaan China sebenarnya mahu menghukum saya kerana pendirian dipegang dan mahu menghalang saya bercakap mengenai isu hak asasi manusia,” katanya kepada Associated Press di Hong Kong.

Anastasia sebelum ini pernah berkata, jika China menghalangnya memasuki republik itu, bererti Beijing mahu menghalangnya bersuara mengenai hak asasi manusia.

Dia yang berpindah ke Kanada pada usia 13 tahun berkata Julai lalu, ribuan pengamal Falun Gong dibunuh dan organ diambil untuk dijual bagi pemindahan organ.

Katanya, selepas memenangi gelaran Ratu Cantik Kanada, ejen keselamatan melawat bapanya yang masih tinggal di China untuk memastikan Anastasia tidak bersuara.

Dia juga tidak mendapat surat jemputan pihak berkuasa - satu syarat permohonan visa negara itu - namun memutuskan mencuba nasib dan mendapatkan visa sebaik mendarat. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 6:56 AM