PESAKIT menerima titisan intravena di sebuah wad kecemasan di sebuah hospital di Beijing, ketika negara itu bergelut dengan kemasukan kes Covid-19. FOTO AP
PESAKIT menerima titisan intravena di sebuah wad kecemasan di sebuah hospital di Beijing, ketika negara itu bergelut dengan kemasukan kes Covid-19. FOTO AP
AP

Beijing: Kes Covid-19 merebak pantas di China menyebabkan apabila katil hospital penuh kerana sesak dengan pesakit mendapatkan rawatan.

Katil di sebuah hospital Chuiyangliu di timur Beijing, mula penuh tengah hari semalam.

Ambulans membawa lebih ramai pesakit dengan jururawat dan doktor yang tertekan, tetap bergegas mengambil maklumat dan menguji kes yang paling mendesak.

Tinjauan mendapati, ramai warga emas lelaki dan wanita memakai pelitup muka berehat di katil di lorong-lorong, manakala pesakit lain terpaksa tidur di kerusi bernombor di ruang menunggu yang sesak.

Pihak berkuasa bimbang penularan Covid-19 melanda bandar kecil dan kawasan luar bandar dengan sistem penjagaan kesihatan yang lebih lemah.

Berikutan itu, beberapa kerajaan tempatan semalam mula mengeluarkan notis kepada orang ramai supaya tidak pulang ke kampung sempena cuti Tahun Baharu Cina.

Ini termasuk daerah Shaoyang di wilayah Hunan, Shouxian di wilayah Anhui tenggara Beijing dan bandar Qingyang di wilayah Gansu, serta Weifang di Shandong.

Bagaimanapun, Hong Kong mengumumkan akan membuka semula beberapa sempadannya dengan tanah besar China, mulai Ahad ini, dan membenarkan puluhan ribu orang menyeberang setiap hari tanpa dikuarantin.

Sebelum ini, pusat pemeriksaan sempadan darat dan laut di bandar itu dengan tanah besar ditutup selama hampir tiga tahun.

Pembukaan semula itu dijangka memberikan rangsangan yang amat diperlukan kepada sektor pelancongan dan peruncitan Hong Kong.

Di kebanyakan negara, semakin banyak kerajaan melaksanakan ujian Covid-19 untuk pelancong dari China berikutan kerajaan China tidak berkongsi maklumat mencukupi.

Rabu lalu, Kesatuan Eropah menggalakkan negara anggotanya melaksanakan ujian Covid-19 sebelum berlepas.

Namun, China mengkritik keperluan itu dan memberi amaran tentang tindakan balas terhadap negara yang mengenakan perintah itu terhadap rakyatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2023 @ 12:00 PM