NASRIN telah dijatuhkan hukuman penjara enam tahun. FOTO/AGENSI
NASRIN telah dijatuhkan hukuman penjara enam tahun. FOTO/AGENSI
Reuters

GENEVA: Peguam hak asasi manusia Iran yang dipenjarakan, Nasrin Sotoudeh memulakan mogok lapar di penjara semalam, umum wanita itu dalam satu nota dihantar pada ruangan Facebook suaminya.

Sotoudeh berkata, dia melancarkan bantahan berhubung penahanan terbaharu seorang aktivis hak asasi awam terkenal dan gangguan terhadap keluarganya oleh pasukan keselamatan.

Peguam wanita itu menghabiskan separuh daripada hukuman penjara enam tahun dijatuhi ke atasnya pada 2010 kerana menyebarkan propaganda dan bersubahat menjejaskan keselamatan negara, dakwaan dinafikannya sebelum dibebaskan pada 2013.

Sotoudeh sekali lagi ditahan Jun lalu dan suaminya, Reza Khandan memaklumkan media Iran, isterinya berdepan dakwaan keselamatan.

“Oleh kerana tiada satu pun surat saya kepada pihak berkuasa menghasilkan keputusan, saya tiada pilihan kecuali memulakan mogok lapar bermula 25 Ogos 2018 sebagai membantah penahanan undang-undang dan tekanan ke atas keluarga, saudara dan rakan saya,” tulis Sotoudeh dalam ruangan Facebook milik Khandan.

Beliau menambah perkataan: “Dengan harapan institusi undang-undang dan keadilan di negara tercinta Iran, ditegakkan.”

Sotoudeh, yang mewakili aktivis pembangkang Iran, memulakan mogol lapar 50 hari pada 2012 menentang larangan perjalanan terhadap anak perempuannya.

Kesnya mencetuskan kemarahan antarabangsa di mana Amerika Syarikat dan kumpulan hak asasi manusia antarabangsa Amnesty International mengkritik Republik Islam itu dan dia dibebaskan pada September 2013 sebelum lawatan ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) oleh Presiden Hassan Rouhani, tidak lama selepas pelantikannya.

Peguam itu baru-baru ini mewakili sejumlah wanita yang menanggalkan tudung kepala atau hijab di tempat awam untuk membantah kod berpakaian wajib Islam terhadap wanita, menurut Center for Human Rights di Iran, kumpulan sokongan berpusat di New York.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 10:09 AM