Raja Noraina Raja Rahim dan Hakimi Suria Kencana


Kuala Lumpur: Sindiket pemerdagangan manusia dipercayai menukar modus operandi daripada penipuan kerja di luar negara kepada culik bagi mendapatkan wang tebusan melalui ahli keluarga mangsa.

Difahamkan, ini kerana cara terbabit memberikan pulangan yang lebih lumayan kepada sindiket berbanding memaksa mangsa menjalankan aktiviti penipuan dalam talian.

Taktik terbaharu sindiket yang disyaki beroperasi di Myawaddy, sempadan Thailand-Myanmar itu dikenal pasti susulan dua rakyat Malaysia 'diculik' sindiket itu yang meminta wang tebusan RM50,000 daripada ahli keluarga mereka.

Wanita mahu dikenali Law, 33, berkata suaminya keluar rumah di Pulau Pinang untuk ke Bangkok, Thailand bagi menyertai satu upacara keagamaan bersama rakannya pada 6 Mei lalu.

"Sepanjang perjalanan, suami sentiasa menghantar mesej dan lokasi terkininya. Apabila sampai di Bangkok, dia beritahu mahu bergerak ke hotel dan akan hubungi saya nanti.

"Selepas beberapa jam, saya mesej suami tanya keadaannya tapi tidak berjawab menyebabkan saya mulai risau.

"Pada jam 10 malam saya terima panggilan daripada suami beritahu diculik dan sudah dibawa ke sempadan Myanmar. Saya kemudian menerima mesej gambar suami dalam keadaan bergari dan meminta saya bayar tebusan RM50,000 jika mahu suami dibebaskan," katanya dalam sidang media di Pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini, hari ini.

Bercerita lanjut, Law berkata, pada mulanya dia panik sebelum menghubungi pihak MHO dan dinasihati untuk tidak menyerahkan wang seperti diminta serta segera membuat laporan polis.

Ahli keluarga seorang lagi mangsa mahu dikenali Chang berkata, dia turut menerima ugutan supaya membayar wang tebusan RM50,000 bagi membebaskan anak lelakinya berusia 19 tahun yang kini dipercayai berada di Myanmar.

Chang, 56, berkata, anak lelakinya itu keluar rumah di Pahang, pada 22 April lalu untuk ke Kuala Lumpur.

"Pada keesokannya, anak perempuan saya menerima panggilan daripada adiknya yang menangis meminta tolong. Dia beritahu berada di Myanmar dan minta kami bayar RM50,000 tapi kami tiada wang itu. Selepas itu kami dapat gambar anak dalam keadaan bergari.

"Saya cuba hubungi anak saya itu tapi gagal menyebabkan saya membuat laporan polis kerana bimbang keselamatannya sebelum menghubungi MHO untuk bantuan," katanya.

Katanya, dia berharap anaknya dapat dibawa pulang semula ke Malaysia dalam keadaan selamat.

Sementara itu, Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim berkata. pihaknya mendapati ia taktik terbaru sindiket yang dipercayai mengarahkan mangsa berhubung dengan keluarga dan meminta tebusan.

Justeru, pihaknya menasihati keluarga supaya tidak mengikut arahan sindiket sebaliknya membuat laporan polis dan MHO akan berusaha menyelamatkan mangsa serta membawa mereka pulang dengan kadar segera.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2024 @ 5:03 PM