INDIVIDU berpelukan ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing. FOTO AFP
INDIVIDU berpelukan ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing. FOTO AFP
Agensi

Beijing: Keputusan China membuka semula sempadannya kepada pelawat antarabangsa buat kali pertama sejak negara itu mengenakan sekatan perjalanan pada Mac 2020, melegakan individu yang sudah lama terpisah dengan keluarga tersayang.

Pengembara yang datang tidak lagi perlu dikuarantin menandakan perubahan ketara dalam dasar Covid-19 China yang kini berdepan lonjakan kes.

Bagaimanapun, bukti ujian PCR negatif yang diambil dalam masa 48 jam sebelum perjalanan masih menjadi keperluan.

ORANG ramai menunggu saudara-mara mereka di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing. FOTO AFP
ORANG ramai menunggu saudara-mara mereka di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing. FOTO AFP

Kira-kira dua bilion perjalanan sempena Tahun Baharu Cina dijangkakan pada tahun ini, iaitu dua kali ganda jumlahnya berbanding tahun lalu.

Di Hong Kong, kira-kira 400,000 orang dijangka berlepas ke tanah besar China dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Ia menyebabkan orang ramai beratur panjang untuk menaiki penerbangan ke bandar utama termasuk Beijing dan Xiamen.

Semalam, bas dua tingkat penuh dengan pengembara yang tiba di Jambatan Hong Kong-Zhuhai-Macau untuk menaiki bas ke wilayah Guangdong, antaranya ialah penuntut kolej yang pulang ke rumah.

Seorang lelaki memberitahu BBC, dia teruja dan tidak sabar kerana sudah tiga tahun tidak bertemu keluarganya.

Seorang wanita pula memberitahu Reuters, dia tidak bertemu ibu bapanya selama bertahun-tahun, walaupun salah seorang daripada mereka menghidap kanser kolon.

Li Hua, yang mengembara dari United Kingdom ke China berkata, dia lega dapat pulang kerana dapat menyambut perayaan tahun baharu kali ini bersama keluarga tersayang.

PENUMPANG penerbangan antarabangsa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong, Shanghai. FOTO AFP
PENUMPANG penerbangan antarabangsa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong, Shanghai. FOTO AFP

Mark Clayton pula yang pulang ke Zhuhai, Guandong bersama isteri dan bayinya selepas melawat Hong Kong, memberitahu BBC, perjalanan pulangnya lancar seperti sebelum Covid-19.

"Kami tidak perlu menunjukkan keputusan ujian PCR kepada mereka sebaliknya hanya mengimbas kod dan memasukkan pengisytiharan kastam yang sangat cepat," katanya.

Namun di sebalik kegembiraan itu, beberapa pihak termasuk pemandu bas tempatan memberitahu BBC, kebimbangan mereka tentang potensi penularan kes dari pengembara luar.

Mereka turut memohon syarikat memberi lebih perlindungan.

China, baru-baru ini, membatalkan sekatan paling ketat dunia dalam mencapai misi sifar Covid-19, selepas rusuhan besar-besaran susulan insiden kebakaran di blok bertingkat di wilayah Xinjiang yang mengorbankan 10 orang.

Bagaimanapun, sejak sekatan dilonggarkan, kes semakin melonjak sehingga menyaksikan pusat pengebumian dan hospital sesak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 12:11 PM