Sebahagian orang ramai yang beratur di klinik demam di Beijing. - FOTO AFP
Sebahagian orang ramai yang beratur di klinik demam di Beijing. - FOTO AFP
Reuters

Hong Kong: Jumlah doktor dan jururawat China dijangkiti Covid-19 meningkat, namun mereka diminta untuk terus bekerja apabila semakin ramai pesakit yang mengalami gejala memenuhi hospital serta klinik.

Perkara itu didedahkan kakitangan perubatan selain dimuat naik di puluhan hantaran media sosial, namun pihak berkuasa kesihatan China enggan memberi sebarang maklum balas berhubung isu itu.

Bagaimanapun, pakar kesihatan memaklumkan, langkah China melonggarkan sekatan Covid-19 dijangka mengakibatkan peningkatan jumlah kes dalam beberapa bulan akan datang dan hospital di bandar besar sudah menunjukkan tanda ia berlaku.

Beberapa gambar tular di media sosial turut menunjukkan pesakit di Beijing dan Baoding terpaksa menunggu giliran yang lama bagi mendapatkan rawatan.

Pegawai perubatan sebelum ini mengesyorkan pesakit Covid-19 yang mempunyai gejala ringan supaya menjalani kuarantin di rumah dan kebanyakan kes dilaporkan di negara berkenaan hanya membabitkan gejala ringan atau tidak bergejala.

"Hospital kami dipenuhi pesakit. Kira-kira 700 ke 800 orang dengan gejala demam mendapatkan rawatan setiap hari manakala bekalan ubat demam semakin berkurangan dan sedang menunggu penghantaran daripada pembekal.

"Beberapa jururawat disahkan positif, tiada sebarang langkah perlindungan untuk kakitangan hospital dan saya percaya lebih ramai akan dijangkiti," kata seorang doktor dikenali Li di hospital besar di wilayah Sichuan.

Malah, seorang jururawat sebuah hospital di Chengdu berkata, beliau merawat hampir 200 pesakit yang mempunyai gejala Covid-19 malam tadi.

Pakar epidemiologi Universiti Hong Kong, Ben Cowling berkata kekurangan bekalan ubat bagi merawat pesakit Covid-19 menyumbang kepada peningkatan jumlah kematian di Hong Kong selepas menyaksikan angka jangkitan meningkat mendadak awal tahun ini.

Beliau turut memberi amaran perkara sama bakal berlaku di China.

"Antara sebab jumlah kematian meningkat (di Hong Kong) adalah kerana kami tidak memiliki sumber hospital yang mencukupi. Malangnya, ini akan berlaku dalam tempoh satu atau dua bulan akan datang di tanah besar," katanya.

Katanya, peningkatan kes ditambah dengan lonjakan kes bergejala ringan dalam kalangan warga emas yang memerlukan pemantauan, memenuhi hospital di Hong Kong.

Justeru, beliau mengesyorkan pengasingan dibuat antara kemudahan untuk warga emas dan kes bergejala ringan bagi memastikan katil hospital mencukupi untuk menampung pesakit.

Media kerajaan Xinhua melaporkan terdapat 50 pesakit Covid-19 berada dalam keadaan kritikal di Beijing.

Sebahagian hospital di Beijing merekodkan hampir 80 peratus kakitangan dijangkiti wabak berkenaan, namun mereka masih perlu meneruskan tugas berikutan kekurangan kakitangan, kata seorang doktor dari hospital besar di Beijing.

Katanya, semua pembedahan di hospital tempatnya bertugas dibatalkan kecuali pesakit berkenaan 'meninggal dunia esok'.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 6:32 PM