Kuil Emas India. FOTO AFP
Kuil Emas India. FOTO AFP
AFP

New Delhi: Gara-gara dituduh mabuk dan mengunyah tembakau berdekatan sebuah Kuil Emas India, seorang lelaki ditetak hingga maut.

Insiden itu berlaku di Kahia Wala Bazar, malam Rabu lalu dan diperhatikan orang awam namun tidak dapat menghalang pertengkaran tiga lelaki bersama mangsa, Harmanjeet Singh, 22.

Pesuruhjaya polis Amritsar, Arun Pal Singh mengesahkan, penahanan tiga suspek yang terbabit dalam insiden itu hingga mengakibatkan kematian mangsa.

Katanya, ketiga-tiga suspek mendakwa, Harmanjeet mabuk dan mengambil tembakau yang kedua-duanya dilarang di bawah etika kelakuan agama.

"Insiden itu berlaku di depan orang awam pada malam Rabu dan mereka tidak dapat menghalangnya," katanya.

Perlindungan rumah ibadat adalah isu yang sangat sensitif bagi kepercayaan Sikh dan pengambilan tembakau, minuman keras atau dadah di tempat suci itu dianggap sebagai perbuatan mencemarkan nama baik.

Pembunuhan itu berlaku di pasar hanya beberapa minit berjalan dari lokasi kuil itu.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri India, Indira Gandhi dibunuh oleh pengawal peribadinya yang berbangsa Sikh pada 1984 selepas mengarahkan serangan tentera kejam ke atas Kuil Emas untuk menghalau puak pemisah.

Pembunuhannya mencetuskan perbalahan berdarah di ibu negara New Delhi yang menyebabkan hampir 3,000 orang Sikh terbunuh.

Tahun lalu, orang ramai memukul seorang lelaki hingga mati di perkarangan Kuil Emas selepas dia melompat ke atas pagar dan menghampiri kitab suci itu dengan pedang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 2:05 PM