Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha. - FOTO Reuters
Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha. - FOTO Reuters
Reuters

Bangkok: Mahkamah Perlembagaan Thailand hari ini menggantung tugas Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha selepas memutuskan untuk mendengar petisyen bagi meneliti keabsahan mandatnya untuk tempoh lapan tahun.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendengar petisyen bagi menyemak semula kesahihan tempoh penggal lapan tahun beliau sebagai Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Prayut mempunyai 15 hari untuk memberi maklum balas kepada keputusan mahkamah yang dibuat barisan panel antara empat hingga lima hakim, yang turut menetapkan penggantungan tugas bermula hari ini.

Mahkamah memaklumkan perkara itu menerusi kenyataan bertulis kepada media dan belum dapat dipastikan bila keputusan muktamad mengenai jawatan Perdana Menteri akan dibuat berhubung petisyan yang difailkan parti pembangkang utama.

"Mahkamah sudah mempertimbangkan petisyen serta dokumen berkaitan dan melihat bahawa fakta dalam petisyen berkenaan menimbulkan sebab untuk membangkitkan persoalan mengenai tempoh penggal jawatan perdana menteri," katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan, dijangka memangku jawatan Perdana Menteri Thailand buat masa sekarang, seperti mana dimaklumkan seorang lagi Timbalan Perdana Menteri, Wissanu Krea-ngam, kepada pemberita kelmarin.

Tidak jelas bila mahkamah akan mengeluarkan ketetapan muktamad mengenai petisyen berkenaan berhubung jawatan Perdana Menteri Thailand.

Prayuth mengambil alih kuasa pada 2014 menerusi rampasan kuasa tentera yang didalangi beliau bagi menggulingkan kerajaan dipilih rakyat.

Beliau pada mulanya berkhidmat sebagai ketua majlis ketenteraan dan menjadi Perdana Menteri pada 2019 menerusi pemilihan di bawah deraf perlembagaan ketenteraan.

Dalam permohonan untuk semakan semula, parti pembangkang utama mendakwa Prayut sepatutnya meninggalkan pejabatnya pada bulan ini kerana masa sebagai ketua junta perlu dikira dalam tempoh pentadbirannya.

Hampir dua pertiga rakyat Thailand mahu Prayut meninggalkan pejabatnya pada bulan ini, berdasarkan undian yang dijalankan.

Bagaimanapun, terdapat sebahagian penyokong mempertikaikan mengenai bila tempohnya sebagai perdana menteri bermula, sama ada pada 2017 apabila perlembagaan baharu berkuat kuasa atau selepas pilihan raya pada 2019.

Berdasarkan perkiraan itu, Prayut sepatutnya dibenarkan untuk kekal berkuasa sehingga 2025 atau 2027 jika dipilih.

Kontroversi terbaru di negara itu mengakibatkan ketidaktentuan politik hampir dua dekad, termasuk dua rampasan kuasa dan tunjuk perasaan ganas secara meluas oleh pihak pembangkang sehingga ke pembabitan tentera dalam politik.

Aktivis prodemokrasi juga melancarkan kempen menentang Prayut dan kerajaan pimpinannya dengan mendakwa pilihan raya pada 2019 tidak sah.

Bagaimanapun, tunjuk perasaan diterajui pelajar itu semakin berkurangan sejak penularan pandemik Covid-19, yang menyaksikan sebarang bentuk perhimpunan diharamkan.

Aktivis kembali berhimpun di ibu kota Thailand semalam bagi menuntut mahkamah menggantung tugas Prayut.

Pilihan Raya Umum (PRU) Thailand dijangka berlangsung pada Mei tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 6:02 PM