Prayuth Chan-o-cha. - FOTO Reuters
Prayuth Chan-o-cha. - FOTO Reuters
Reuters

Bangkok: Hampir dua pertiga daripada rakyat Thailand mahukan Perdana Menteri, Prayuth Chan-o-cha, meletak jawatan bulan ini.

Dapatan itu hasil tinjauan pendapat ketika perdebatan hangat tercetus mengenai had masa pemimpin terbabit memegang tampuk kerajaan sejak rampasan kuasa pada 2014.

Pembangkang Thailand bercadang membuat petisyen kepada mahkamah perlembagaan untuk memutuskan sama ada tempoh masa Prayuth sebagai perdana menteri dihadkan kepada lapan tahun.

Tinjauan dilakukan 2 hingga 4 Ogos lalu itu membabitkan 1,312 responden yang dikelolakan oleh National Institute of Development Administration (NIDA).

Ia mendapati 64 peratus daripada responden mahukan Prayuth meletakkan jawatan pada 23 Ogos ini, iaitu lapan tahun selepas beliau dilantik dalam kerajaan tentera ketika itu.

Hasil tinjauan didedahkan pada Ahad itu turut menunjukkan 33 peratus responden mahu menunggu sehingga keputusan mahkamah dikeluarkan.

Ditanya mengenai tindakan dibuat pembangkang, Prayuth, 68, berkata ia adalah urusan mahkamah.

Isu tempoh masa adalah antara usaha pembangkang bagi menyingkirkan Prayuth, termasuk empat usul tidak percaya yang dikemukakan di Parlimen selain kes konflik kepentingan mengenai penggunaan kediaman tentera serta bantahan oleh kumpulan belia yang mencabar kepemimpinannya.

Prayuth adalah pemimpin junta dan Perdana Menteri sejak 2014 sehingga pilihan raya berlangsung pada 2019 yang mana beliau dipilih untuk mengekalkan jawatannya.

Berdasarkan perlembagaan, pilihan raya perlu dilaksanakan dalam tempoh 10 bulan akan datang, namun Prayuth sehingga kini masih belum memberi sebarang isyarat bahawa ia akan berlaku.

Dalam pada itu, wujud perbezaan pandangan dalam kalangan penyokong Prayuth, dengan ada antara mereka menyatakan bahawa jawatan Perdana Menteri bermula apabila Perlembagaan baharu diisytiharkan pada 2017, manakala ada berpendapat ia bermula selepas pilihan raya 2019.

Bagaimanapun, tinjauan dilakukan NIDA tidak menyentuh perbezaan pandangan mengenai tempoh masa Prayuth memegang jawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 5:34 PM