Agensi

Bangkok: Calon beberapa parti politik Thailand memperhebat kempen akhir masing-masing menjelang pilihan raya pada Ahad, sekali gus menghapuskan peluang untuk tentera kembali memerintah negara Asia Tenggara itu.

Ketua Tentera Diraja Thai, Jeneral Narongpan Jittkaewtae yang akan menamatkan perkhidmatan Oktober depan, memberi jaminan tidak akan ada rampasan kuasa, dan menyatakan tentera kekal berkecuali.

"Saya tidak dapat mengesahkan sama ada negara akan stabil pada masa hadapan yang bergantung kepada kerjasama semua pihak.

"Namun apa yang boleh saya sahkan ialah tidak ada peluang untuk mengulangi apa yang berlaku pada masa lalu (pemerintahan tentera)," katanya seperti dilaporkan The Straits Times.

Kenyataannya itu meredakan kebimbangan kemungkinan pemerintahan tentera sekali lagi sekiranya parti pembangkang prodemokrasi memenangi pilihan raya itu.

Setiap parti yang berkempen membawa manifesto pembaharuan radikal termasuk menamatkan pengaruh tentera dalam politik negara itu.

Parti pembangkang termasuk Pheu Thai dan Move Forward juga berjanji memperbaharui Perlembagaan, sekiranya memenangi pilihan raya dengan mempunyai 500 anggota Dewan Perwakilan untuk mengekang peranan Senat yang dilantik oleh tentera.

Pheu Thai yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra turut berjanji memperkenalkan rang undang-undang antirampasan kuasa.

Sebelum ini, kerajaan dipilih dan tentera, secara bergilir-gilir mentadbir Thailand, sehingga beberapa kali mencetuskan pertempuran dan tunjuk perasaan.

Negara itu menyaksikan sebanyak 12 rampasan kuasa tentera sejak 1932 dengan terakhir diketuai penyandang Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha menentang kerajaan adik Thaksin, Yingluck Shinawatra pada 2014.

Jumaat lalu, calon perdana menteri, Paetongtarn Shinawatra dari Pheu Thai; Prayut; pemimpin Move Forward, Pita Limjaroenrat dan beberapa calon parti lain menjalankan kempen akhir mereka.

Pilihan raya Thailand menyaksikan pakatan pemerintah diketuai tentera, bertanding dengan pembangkang liberal dan terdapat lebih 6,600 calon bertanding untuk 500 kerusi Parlimen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 12:01 PM