PRAYUT
PRAYUT
AFP

Bangkok: Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha semalam mengumumkan pilihan raya umum negara itu bakal diadakan pada November 2018, lebih empat tahun selepas tentera merampas kuasa.

Tidak lama selepas merampas kuasa pada 2014, Prayut yang ketika itu ketua tentera berjanji untuk mengembalikan kuasa kepada rakyat dalam tempoh 18 bulan.

Bagaimanapun, beberapa tarikh yang diumumkan junta selepas itu terus berlalu dan sekiranya pilihan raya diadakan pengkritik berkata, demokrasi sudah terbatas.

“Pilihan raya bakal diadakan pada November 2018. Adakah anda jelas?” katanya kepada wartawan.

Menurutnya, dia akan mengumumkan tarikh sebenar pada Jun tahun depan.

Pengkritik berpendapat, pilihan raya akan datang tidak mengembalikan demokrasi penuh yang wujud sebelum tentera merampas kuasa.

Lebih enam rampas kuasa tentera berlaku di Thailand sejak pemerintahan beraja secara mutlak berakhir pada 1932.

Selepas menumbangkan kerajaan bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra tentera membuat perlembagaan baru yang mengehadkan kuasa ahli politik yang dipilih.

Perlembagaan baru itu juga mengwujudkan dewan rendah Senat yang dilantik secara penuh dengan beberapa kerusi dikhaskan untuk pegawai tentera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 9:23 AM