Gambar menunjukkan veteran tentera memakai uniform. - FOTO AFP
Gambar menunjukkan veteran tentera memakai uniform. - FOTO AFP
Reuters

Seoul: Korea Utara menganjurkan acara awam secara besar-besaran tanpa pemakaian pelitup muka yang pertama selepas pengisytiharan penamatan darurat Covid-19 beberapa hari lalu.

Acara itu memberi penghormatan kepada veteran perang Korea 1950-53 selepas Darurat Covid-19 yang dilaksanakan Mei lalu ditamatkan.

Gambar yang dikeluarkan oleh media kerajaan semalam, menunjukkan ribuan peserta pada majlis tahunan itu berhimpun tanpa pemakaian pelitup muka, termasuk pegawai kanan Parti Pekerja yang memerintah dan veteran tentera yang memakai uniform.

Negara yang mengamalkan dasar tertutup itu berkata awal bulan ini, negara berkenaan berada dalam laluan untuk 'meredakan' krisis Covid-19.

Pengumuman itu satu tindakan yang pertama diisytiharkan secara terbuka walaupun Korea Utara kini berdepan peningkatan semula kes jangkitan subvarian Omicron.

Agensi berita rasmi KCNA melaporkan, sebanyak 18 kes demam baharu dikesan Isnin, dengan hari ketiga berturut-turut jumlah itu berada di bawah 100 kes selepas melebihi 390,000 kes pada Mei lalu.

Laporan itu menyebut 99.99 peratus daripada 4.77 juta pesakit yang dikesan sejak akhir April lalu sudah pulih sepenuhnya.

Negara berkenaan tidak pernah mengesahkan berapa ramai orang disahkan positif Covid-19 kerana mereka kekurangan peralatan ujian.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyatakan kekurangan bekalan peralatan ujian Covid-19 dihadapi Korea Utara akan menjadi lebih teruk.

Acara memperingati veteran perang itu diadakan kelmarin di Pyongyang sempena ulang tahun ke-69 Perang Korea yang disambut setiap 27 Julai, tarikh pemisahan Semenanjung Korea menjadi dua.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un tidak menghadiri acara itu.

Kim tidak pernah dilihat dalam media kerajaan sejak 8 Julai, menunjukkan ketidakhadirannya secara terbuka paling lama pada tahun ini.

Pegawai Seoul dan Washington berkata, Korea Utara membuat persiapan untuk menjalankan ujian nuklear pertamanya sejak 2017.

Menteri Penyatuan Korea Selatan yang mengendalikan hal ehwal antara Korea berkata, ada 'kemungkinan' ujian itu diadakan bersempena ulang tahun berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 4:56 PM