Penduduk Korea Selatan memakai pelitup muka berjalan melepasi pemain piano di Seoul. FOTO AFP.
Penduduk Korea Selatan memakai pelitup muka berjalan melepasi pemain piano di Seoul. FOTO AFP.
Reuters

Seoul: Korea Selatan akan menarik balik peraturan pemakaian pelitup muka ketika berada di luar bangunan pada minggu depan, lapor agensi berita Yonhap pada Jumaat.

Ia langkah terbaharu negara itu dalam melonggarkan sekatan Covid-19 apabila penularan varian Omicron dilihat semakin reda.

Langkah terbabit juga menyusul dua minggu selepas Korea Selatan membatalkan sebahagian besar peraturan berkaitan pandemik, termasuk larangan beroperasi tengah malam bagi restoran dan perniagaan lain, 18 April lalu.

Perdana Menteri Kim Boo-kyum berkata, kerajaan memutuskan untuk tidak lagi menoleh ke belakang dalam usaha mengurus pandemik Covid-19.

Menurutnya, penduduk bagaimanapun masih perlu memakai pelitup muka dalam acara yang dihadiri 50 orang atau lebih, seperti perhimpunan, konsert dan stadium sukan.

Jumlah kes Covid-19 di negara itu berlegar antara kurang 100,000 kes sehari selepas kemuncak kes yang melebihi 620,000 sehari pada pertengahan Mac.

Korea Selatan turut berjaya menurunkan kadar kematian dan kes kritikal melalui vaksinasi yang meluas.

Hampir 87 peratus daripada 52 juta populasinya lengkap vaksinasi dengan 65 peratus mengambil suntikan penggalak, menurut data agensi pencegahan dan kawalan penyakit Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 10:24 AM