JONG UN (kiri) bersama Trump di sumit AS-Korea Utara di Singapura. FOTO AFP
JONG UN (kiri) bersama Trump di sumit AS-Korea Utara di Singapura. FOTO AFP
AFP/Reuters

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata hari ini, pemimpin Korea Utara Kim Jong-un membuat ‘komitmen tidak berbelah bahagi’ untuk melaksanakan gencatan penuh senjata nuklear di Semenanjung Korea namun sekatan ke atas Pyongyang masih kekal.

Trump, bercakap selepas sidang kemuncak bersejarah dengan Jong-un di republik ini berkata, kedua-dua pemimpin ‘bersiap sedia memulakan sejarah baharu dan menulis piagam baharu antara dua negara.’

“Beliau mengesahkan komitmen tidak berbelah bahagi untuk melaksanakan gencatan penuh senjata nuklear di Semenanjung Korea,” kata Trump dalam sidang media.

Pada masa sama beliau menaruh harapan Perang Korea akan tamat tidak lama lagi.

“Kini kita boleh berharap ia akan tamat tidak lama lagi,” kata Trump mengakui perang Korea 1950-53 dihentikan dengan gencatan senjata dan bukan perjanjian damai.

Mengenai isu hak asasi manusia, Trump mengakui beliau membincangkannya secara kukuh

“Kami membincangkannya hari ini, dengan kukuh. Kami akan melakukan sesuatu mengenainya. Ia adalah sesuatu yang sukar,” tambahnya.

Beliau berkata, Jong-un juga komited memusnahkan tapak ujian peluru berpandu ‘utama’, namun tidak menjelaskan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 12:03 AM