PEMIMPIN Korea Utara. FOTO fail KCNA/ Reuters
PEMIMPIN Korea Utara. FOTO fail KCNA/ Reuters
Reuters

Seoul: Kes demam harian di Korea Utara menurun kepada di bawah 100,000 buat kali pertama, kata media kerajaan pada Sabtu, kurang tiga minggu selepas pengakuan pertama jangkitan wabak Covid-19 di negara itu.

Negara 'terasing' itu berada dalam pertempuran sengit menentang gelombang Covid-19 yang tidak pernah berlaku sejak mengisytiharkan keadaan kecemasan dan mengenakan penutupan di seluruh negara.

Pada 12 Mei lalu, Korea Utara mengesahkan kes pertama Covid-19 di negara itu, dan disusuli dengan pengisytiharan 'darurat serius' oleh pemimpin tertingginya, Kim Jong-un.

Sebelum ini, negara itu tidak pernah mengakui terdapat sebarang kes Covid-19 sejak permulaan pandemik pada 2020.

Sementara itu, terkini, kira-kira 88,520 orang lagi menunjukkan simptom demam, setakat petang Jumaat.

Ini berbanding hampir 400,000 kira-kira 10 hari lalu, kata agensi berita rasmi Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), memetik data dari ibu pejabat pencegahan wabak kecemasan negeri.

Jumlah pesakit demam sejak April meningkat kepada 3.36 juta dalam kalangan 25 juta penduduk.

KCNA tidak melaporkan sebarang kematian tambahan. Sehingga Jumaat, jumlah kematian berjumlah 69 orang.

Korea Utara belum mengesahkan jumlah orang yang diuji positif untuk koronavirus, nampaknya kekurangan bekalan ujian.

Pakar berkata, angka yang diumumkan mungkin kurang dilaporkan, dan sukar untuk menilai skala sebenar keadaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 10:21 AM