Jokowi berada di hadapan khemah di lokasi yang bakal menjadi ibu negara baharu Indonesia, Nusantara. - FOTO AFP
Jokowi berada di hadapan khemah di lokasi yang bakal menjadi ibu negara baharu Indonesia, Nusantara. - FOTO AFP
AFP

Jakarta: Presiden Indonesia, Joko Widodo meluangkan masa berkhemah di lokasi yang bakal menjadi ibu negara baharu Indonesia.

Negara berkenaan kini sedang bersedia untuk memindahkan ibu negaranya dari Jakarta ke Nusantara.

"Selamat pagi. Apa perasaan bermalam di Nusantara? Udaranya sejuk dan cuaca baik malam tadi," kata Jokowi melalui hantaran di Instagram dengan gambarnya duduk di hadapan khemah.

Pada Isnin, Widodo dan gabenor dari seluruh negara merasmikan tapak itu dengan upacara di mana mereka membawa tanah dan air dari wilayah masing-masing serta mencampurkannya sebagai lambang perpaduan negara.

Ibu kota baharu itu akan meliputi kira-kira 56,180 hektar bahagian timur pulau Borneo, yang dikongsi negara itu dengan Malaysia dan Brunei.

Tetapi projek itu telah menghadapi halangan -- dengan kebimbangan terhadap kesan alam sekitar ditambah lagi dengan kerugian minggu ini di mana pelabur SoftBank Group, yang menarik diri daripada projek itu tanpa penjelasan.

Widodo mengumumkan rancangan untuk memindahkan ibu negara pada 2019, memetik peningkatan paras air laut dan kesesakan teruk di pulau Jawa yang padat penduduknya.

Langkah itu dijangka bermula pada 2024, tetapi Widodo telah memberi amaran projek itu mungkin mengambil masa lebih sedekad untuk diselesaikan.

Indonesia bukanlah negara pertama di Asia Tenggara yang menempatkan semula ibu kota yang padat, dengan kedua-dua Malaysia dan Myanmar memindahkan pusat pentadbiran mereka pada tahun 2000-an.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 5:28 PM