JOKOWI umum perletakan jawatan Iman Nahrawi.
JOKOWI umum perletakan jawatan Iman Nahrawi.
Reuters

JAKARTA: Presiden Joko Widodo mengumumkan perletakan jawatan Menteri Pemuda dan Olahraga, Imam Nahrawi hari ini selepas dinamakan suspek oleh agensi pencegah rasuah Indonesia.

Pembantu peribadi Nahrawi turut dinamakan sebagai suspek oleh Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) semalam.

Widodo memberitahu wartawan sama ada akan melantik Menteri Pemuda dan Olahraga baru ataupun menggantikan dengan menteri interim.

Pemimpin itu berkata surat peletakan jawatan Nahrawi diserahkan kepadanya.

Nahrawi menjadi menteri kedua dikaitkan dengan kes rasuah dan menjadi tamparan hebat kepada Widodo yang menjanjikan kerajaan telus dan berkesan ketika menjadi presiden Indonesia pada 2014.

Kes rasuah itu membabitkan Kementerian Pemuda dan Olahraga dan Jawatankuasa Sukan Negara (KONI).

Bekas menteri itu dituduh menerima suapan sebanyak 26.5 bilion rupiah (RM7.88 juta) melalui pembantu peribadinya.

Kes terbabit timbul selepas KPK melancarkan siasatan pada Disember tahun lalu dan merampas 7.4 bilion rupiah (RM22 juta).

Pada April lalu, bekas Menteri Sosial, Idrus Marham dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun kerana rasuah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 4:52 PM