Jakarta: Sebelas pasukan penyelam gabungan Tentera Laut Indonesia (TNI) berada di dasar Selat Karimata, pagi ini, bagi mengosongkan badan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501.

Panglima Armada Wilayah Barat, Laksamana Muda Widodo, berkata fokus pasukan penyelam adalah untuk mengiringkan badan pesawat bagi memudahkan usaha mencari mayat mangsa.

“Sebelum ini penyelam cuba masuk ke badan pesawat tapi keadaan terlalu gelap dan banyak objek terapung yang membahayakan mereka,” katanya.

Widodo berkata, sekiranya usaha mengiringkan pesawat gagal, pihaknya terpaksa mengambil langkah alternatif dengan mengapungkan badan pesawat.

“Apapun, badan pesawat tetap akan diangkat ke Kapal Crest Onyx untuk dibawa ke Jakarta. Oleh itu, sebarang keputusan kita serah kepada Jawatankuasa Nasional Keselamatan Pengangkutan (KNKT),” katanya.

Widodo berkata, pengapungan akan dibuat menggunakan satu ‘lifting bag’ bersaiz satu tan.

Sementara itu, dalam dua hari kebelakanan ini, pasukan penyelam berjaya memindahkan 12 mayat di sekitar lokasi penemuan badan pesawat. - Detik.com

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 January 2015 @ 5:08 PM