DOUYIN memperuntukkan individu bawah usia 14 tahun menggunakan aplikasi video pendek itu hanya 40 minit sehari. FOTO AFP
DOUYIN memperuntukkan individu bawah usia 14 tahun menggunakan aplikasi video pendek itu hanya 40 minit sehari. FOTO AFP

Beijing: Aplikasi TikTok versi China, Douyin memperkenalkan tetapan mod remaja yang akan mengehadkan penggunaan golongan individu bawah usia 14 tahun.

Memetik portal CNN Business, TikTok versi China dinamakan Douyin itu akan memperuntukkan golongan berkenaan menggunakan aplikasi video pendek itu hanya 40 minit sehari.

Peraturan itu terpakai kepada semua pengguna Douyin berumur bawah 14 tahun yang berdaftar dengan aplikasi itu menggunakan nama sebenar mereka.

Pengumuman itu dibuat pemilik aplikasi TikTok dan Douyin, ByteDance yang berpangkalan di Beijing dalam satu kenyataan, Sabtu lalu.

Aplikasi itu juga tidak akan beroperasi untuk golongan pengguna berkenaan antara jam 10 malam hingga 6 pagi.

Syarikat itu turut menggesa ibu bapa membantu anak mereka mendaftar menggunakan nama sebenar mereka jika tidak, ia tidak akan berfungsi dalam mod remaja.

Aplikasi itu juga berkata, mereka akan memperkenalkan kandungan baharu dari eksperimen sains dan muzium hingga ke pameran galeri seni dan pemandangan semula jadi, sekali gus menginspirasikan remaja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 6:45 AM