WANG maut selepas minum minuman keras. FOTO Douyin
WANG maut selepas minum minuman keras. FOTO Douyin
Agensi

Beijing: Lelaki maut selepas minum alkohol secara berlebihan ketika melakukan penstriman langsung di TikTok versi China iaitu Douyin.

Pengguna akaun Douyin dengan gelaran 'Brother Three Ribu' itu dilaporkan minum sekurang-kurangnya tujuh botol minuman keras baijiu semasa melakukan siaran langsung, Selasa lalu.

Dia ditemukan meninggal dunia 12 jam selepas siaran itu.

Kematiannya diperkatakan secara meluas di media sosial seluruh negara hingga mencetuskan gesaan mewujudkan peraturan lebuh ketat bagi penstriman langsung di China.

Lelaki berusia 34 tahun itu dikenali sebagai Wang, mempunyai kepakaran dalam melakukan aksi minuman keras Cina semasa bersiaran langsung.

Baijiu ialah lambang semangat kuat yang mengandungi alkohol sehingga 60 peratus.

Pada 16 Mei lalu, lelaki itu mengambil bahagian dalam empat 'pertempuran satu lawan satu' untuk mendapatkan hadiah terbanyak daripada peminat dalam tempoh singkat.

Dia tewas tiga pusingan dan perlu minum baiju sebagai hukuman.

Orang ramai yang menonton siaran itu berkata, dia minum sekurang-kurangnya tujuh botol minuman keras, pada malam itu.

Rakannya, Zhao berkata, Wang menamatkan penstriman langsungnya selepas tengah malam sebelum ditemukan meninggal dunia keesokannya.

"Apabila keluarganya menemuinya, dia sudah tiada, dia langsung tidak mendapat peluang untuk mendapatkan rawatan kecemasan," katanya kepada Shangyou News.

Katanya, pengebumian rakannya itu diadakan pada hari ini.

Douyin sudah mengeluarkan larangan minum semasa penstriman langsung serta menetapkan denda sebagai amaran kepada pengguna.

Wang juga diharamkan daripada aplikasi itu sebelum ini kerana minum alkohol, namun dia membuka akaun baharu yang kini memiliki lebih 44,000 pengikut.

Kematian Wang mencetuskan penelitian besar terhadap keselamatan dan peraturan aplikasi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 11:19 AM