SHONANZAKURA akhirnya mengundur diri selepas 104 kali kalah dalam perlawanan sumo. FOTO Twitter
SHONANZAKURA akhirnya mengundur diri selepas 104 kali kalah dalam perlawanan sumo. FOTO Twitter
Agensi

Tokyo: Seorang atlet sumo di Jepun akhirnya mengambil keputusan untuk menamatkan kariernya selepas mengalami 104 kekalahan berturut-turut.

Media negara itu, Sankei News melaporkan, Shonanzakura membuat keputusan itu kerana mencatat rekod terburuk dalam sejarah sukan tradisi negara matahari terbit itu.

Secara keseluruhan, atlet berusia 23 tahun itu mengakhiri karier sukannya dengan merekodkan tiga kemenangan, satu seri dan 238 kekalahan.

Ketua sekolah sumo, Kitazakura berkata, keputusan anak muridnya itu ternyata mengecewakannya.

"Tidak peduli berapa kali kalah kerana dia perlu bangkit dan menerima cabaran baharu," katanya.

Kitazakura memuji atlet sumo muda itu kerana bersemangat setiap kali menjalani latihan.

Menerusi laporan Mothership, peminat ternyata kecewa dengan keputusan itu dan memuji kegigihan serta profesionalisme Shonanzakura.

Kata-kata semangat turut dilontarkan peminat sukan itu kepada Shonanzakura di media sosial di negara berkenaan.

"Semoga kamu mendapat kehidupan yang lebih baik selepas ini," kata netizen yang menggunakan nama Agunn.

Bagi Hakkeyoi_Sumo, keputusan untuk menamatkan karier atlet muda itu adalah satu kehilangan kepada sukan berkenaan.

Sora News melaporkan, kali terakhir Shonanzakura meraih kemenangan adalah pada 21 Januari 2019.

Shonanzakura juga sudah mengadakan acara memotong rambut sebagai tanda penamatan kariernya dalam sukan itu.

Nikkan Sport pula melaporkan, dia sudah kembali ke rumah keluarganya di Kanagawa untuk memulakan hidup baru.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 6:10 AM