YAMAMURA (kanan) diiring polis keluar dari mahkamah.
YAMAMURA (kanan) diiring polis keluar dari mahkamah.
Agensi

Tokyo: Seorang bekas jurulatih dan ahli sukan gusti sumo mengaku mendera pembantunya dengan memukulnya menggunakan kayu pemukul, menyumbat tuala ke dalam mulut dan memaksanya memakan satu bekas penuh berisi wasabi.

Kazuyuki Yamamura, yang pernah mengetuai pemecah rekod gusti sumo dari Mongolia, Hakuho, memberitahu mahkamah Tokyo Isnin lalu bahawa dia berulang kali memukul bekas pembantunya berusia 31 tahun menggunakan pemukul besi atau tukul, lapor akhbar Nikkan Sports.

Menurut laporan itu, Yamamura didakwa menyumbat mulut pembantunya yang berusia 31 tahun dengan tuala serta memukul jari, siku, lutut dan pergelangan kaki menggunakan kayu atau tukul.

Penderaan terhadap lelaki yang bekerja sebagai pemandu dan pembantu peribadinya bermula awal tahun ini dan semakin menjadi-jadi sehingga ada satu ketika dia dipaksa memakan satu bekas penuh berisi wasabi - perencah Jepun yang sangat pedas - dan mencucuk jarum di bawah kukunya.

Dia turut mengancam untuk mencederakan bahagian sulitnya termasuk mengorek biji mata dan mematahkan giginya.

Yamamura dilaporkan bertindak sedemikian selepas menyalahkan lelaki itu kerana melakukan kesilapan ketika membeli barang keperluan untuknya dan tidak bercakap dengan jelas.

Mangsa memberitahu Rangkaian Televisyen Nippon News, dia merasakan “boleh dibunuh bila-bila masa.”

Tambahnya lagi, dia tidak melaporkan perkara berkenaan kepada polis kerana menghormati Hakuko, tetapi mengalah kerana tidak sanggup menanggung penderitaan itu lagi.

Yamamura digugurkan dari sukan itu bulan lalu oleh Persatuan Sumo Jepun berhubung kes terbabit.

Dia yang masih bergabung dengan Hakuho sehingga penyingkirannya dari sumo, diturunkan pangkat sebagai jurulatih selepas sebuah majalah pada 2007 menerbitkan laporan yang mengatakan dia pernah memberitahu perempuan simpanannya mengenai cara mengatur perlawanan membabitkan Hakuho.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2015 @ 7:04 AM