LATIHAN berat menumbangkan ahli sumo lelaki bina kekuatan pada ahli sumo wanita.
LATIHAN berat menumbangkan ahli sumo lelaki bina kekuatan pada ahli sumo wanita.
AHLI sumo wanita membersihkan dohyo (gelanggang) sebelum berlatih.
AHLI sumo wanita membersihkan dohyo (gelanggang) sebelum berlatih.
SHIORI Kanehira (kiri) dan Sayako (kanan) berlatih bersama ahli sumo lelaki.
SHIORI Kanehira (kiri) dan Sayako (kanan) berlatih bersama ahli sumo lelaki.
ANNA Fujita (tiga dari kiri), pelajar universiti yang sanggup luangkan masa berguru dengan Toshiaki  (duduk).
ANNA Fujita (tiga dari kiri), pelajar universiti yang sanggup luangkan masa berguru dengan Toshiaki (duduk).
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin


Sayako Matsuo berbaring di atas tikar tatami apabila tukang urut memicit-micit tengkuk dan bahunya bagi melegakan ketegangan ototnya. Bagaimanapun, ia bukanlah urutan memanjakan diri sebaliknya Sayako kini sedang bersiap sedia untuk menyertai pertandingan sukan kebanggaan Jepun - sumo.

Sayako juga memakai mawashi iaitu kain balutan punggung seperti dikenakan ahli sukan sumo lelaki. Bezanya, Sayako menyarungkan seluar pendek lycra sebelum memakai mawashi supaya dia boleh bergerak dengan lebih selesa.

Gadis berusia 19 tahun itu berulang kali berlatih membuat pergerakan seperti mencangkung dan dengan berat 60 kilogram, dia perlu menentang lelaki yang beratnya hampir dua setengah kali ganda berbanding dirinya.

Perbezaan saiz yang besar itu bukanlah satu masalah bagi Sayako. Keazamannya cukup tinggi dan dia juga sudah belajar teknik untuk menumbangkan lawan dan menolaknya keluar dari gelanggang.

“Mulanya saya menjadikan sumo sebagai hobi. Tetapi, ayah selalu mendesak untuk saya serius dalam sukan ini dan saya mula rasa tekanannya. Kini impian saya ialah untuk memenangi pingat dalam Kejohanan Sumo Dunia bagi wanita satu hari nanti,” katanya.

Sebagai anak kepada bekas ahli sumo profesional yang terkenal dengan nama gelanggangnya, Sadanohana, sukan lasak ini bukanlah sesuatu yang asing bagi Sayako. Malah, dia sudah mula ‘bergusti’ sejak kecil, ketika berumur lima tahun.

Kini Sayako menjadi sebahagian daripada kumpulan ahli gusti wanita yang memecahkan tradisi dalam sukan tertua Jepun itu.

Orang yang bertanggungjawab membuka laluan kepada wanita memasuki sukan itu ialah jurulatih Kelab Sumo Universiti Tokyo, Toshiaki Hirahara dalam usaha menjadikan sumo sebagai salah satu acara dalam sukan Olimpik pada masa akan datang.

Pun begitu, kata Toshiaki , pertandingan sumo tahap tinggi yang ditonton berjuta rakyat Jepun menerusi televisyen perlulah mengekalkan nilai keasliannya terutama dari segi semangat dan kepercayaan agama.

“Saya rasa semua orang faham mengapa wanita tidak dibenarkan memasuki dohyo (gelanggang) keramat itu kerana ia dianggap sebagai satu jajahan tuhan. Tetapi, liga amatur tiada kaitan dengan tuhan, jadi biarlah remaja perempuan dan lelaki sama-sama menjayakan sukan ini,” katanya.

Sukan sumo bermula kira-kira 2,000 tahun lalu ketika ia menjadi salah satu daripada acara penting dalam kepercayaan penduduk Jepun dulu kala yang dikenali sebagai Shintoism iaitu agama animistik (pemikiran yang berasaskan kepada kepercayaan bahawa segala benda mempunyai semangat atau roh).

Bagaimanapun, pengaruh sumo merosot teruk dalam beberapa tahun kebelakangan ini apabila sesetengah pihak mendakwa ada yang cuba mengeksploitasi sukan itu dengan me­ngatur kemenangan, mengadakan pertaruhan haram dan wujudnya kes buli sehingga menyebabkan kematian seorang pelatih muda pada 2007.

Lebih memburukkan keadaan, sumo juga dikaitkan dengan dakwaan bahawa ia ada kaitan dengan yakuza - samseng terkenal di Jepun.

Populariti sumo juga semakin pudar kerana Jepun gagal melahirkan juara sumo dan tiga kokozuna (kejohanan besar) dimenangi peserta Mongolia termasuk si pemecah rekod, Hakuho Sho - warga Mongolia berusia 29 tahun yang muncul sebagai ahli gusti paling cemerlang selepas mengekalkan kejuaraan dalam 33 kejohanan.

Memperkenal dan memberi ruang untuk ahli gusti amatur, dengan kategori berat yang bersesuaian mungkin boleh membantu merangsang dan menaikkan semula sukan sumo, kata Toshiaki.

Bagaimanapun katanya, mereka harus bersedia berhadapan dengan persepsi negatif masyarakat terhadap persatuan sumo khususnya dalam kalangan wanita yang sangat mementingkan imej diri kerana mereka tentu saja sukar menerima hakikat bahawa seseorang ahli gusti sumo perlu makan sehingga 20,000 kalori sehari seperti yang dilakukan Hakuho. Beratnya yang kini sudah melebihi 150 kilogram tentu saja membuatkan wanita penjaga imej berasa kurang senang.

“Saya mahu kekal dalam kategori bawah 65 kilogram supaya saya boleh makan makanan yang seimbang,” kata Sayako walaupun dia mengakui kelemahannya tidak dapat menahan selera apabila dihidangkan ‘chankonabe’ iaitu sup tradisional untuk ahli sukan sumo yang terdiri daripada sayur, daging dan nasi.

Rakan seperjuangannya, Anna Fujita, 21, gembira dapat kekal dalam kategori paling ringan dalam sumo (65 kilogram).

“Jika saya jadi lebih gemuk, saya terpaksa masuk ke dalam kategori heavyweight dan perlu bertanding dengan peserta wanita yang beratnya melebihi 100 kilogram.

“Satu lagi, untuk makan banyak, memerlukan wang. Kosnya terlalu mahal untuk makan banyak. Lagi pun saya masih belajar dan tiada wang,” katanya sambil tersenyum. Untuk mengekalkan berat badannya, Anna memberitahu dia makan emping jagung, nasi dan sayur tumis.

Menurut Kesatuan Sumo Jepun, nisbah ahli gusti sumo wanita masih kecil sedangkan di sekolah rendah hampir 300 pelajar lelaki mengambil bahagian dalam sukan untuk perempuan.

Walaupun jumlahnya kecil, tetapi ahli gusti sumo wanita tetap bertahan dan semakin mantap.

“Ketika kecil, kanak-kanak perempuan lebih cepat membesar berbanding lelaki, jadi mereka lebih kuat,” kata jurulatih dari Universiti Nihon, Hideto Tsushima.

Anna yang mengambil jurusan sejarah dan mempelajari sejarah Taiwan, adalah testimoni (bukti) bahawa jika mereka mendapat latihan, ahli gusti wanita boleh berada di kedudukan yang baik. Siang dia belajar dan malamnya, Anna beraksi di gelanggang dan mampu menumbangkan lelaki yang dua kali ganda lebih besar berbanding dirinya di Kelab Sumo Universiti Tokyo.

Setakat ini, dia berlatih secara rahsia kerana masih belum memberitahu ibu bapa mengenai pembabitannya dalam sukan itu.

“Saya rasa mereka akan terkejut...jadi biarlah rahsia dulu. Saya akan beritahu mereka selepas tamat pengajian atau apabila saya mahu berkahwin kelak,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Februari 2015 @ 11:43 AM