GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

Semarang: Pasukan petugas pengebumian jenazah Covid-19 terkejut apabila mendapati mengebumikan keranda kosong.

Kejadian pada Ahad itu berlaku di Desa Karanglo di daerah Klaten.

Mereka pada mulanya beranggapan terdapat mayat mangsa Covid-19 di dalam keranda berkenaan tanpa membukanya untuk kepastian.

Ketua Desa Karanglo, Yudi Kusnandar ketika dihubungi mengesahkan kejadian berlaku di kampungnya.

"Memang ada kejadian mengebumikan keranda kosong," katanya seperti dilapor portal Kompas.

Katanya, petugas pasukan sebelum itu menerima maklumat mengenai jenazah pesakit Covid-19 yang perlu dikebumikan di sebuah hospital di Solo.

Katanya, mereka menerima keranda yang disangka mempunyai jenazah di dalamnya, sebelum melakukan prosedur pengebumian.

"Sebaik tiba di tanah perkuburan, jenazah itu segera dikebumikan.

"Selepas selesai dikebumikan, petugas mendapat maklumat bahawa keranda yang ditanam sebenarnya kosong, beberapa jam kemudian," katanya.

Beliau berkata, ini kerana mayat pesakit Covid-19 itu sebenarnya masih berada di rumah, bukan di hospital seperti yang disangka.

Menurutnya, kubur itu digali semula sehari kemudian sebelum jenazah pesakit itu dikebumikan di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 6:31 AM