Anggota APM bertungkus lumus kebumi jenazah COVID-19. FOTO Ihsan APM
Anggota APM bertungkus lumus kebumi jenazah COVID-19. FOTO Ihsan APM
BERNAMA

Kuala Lumpur: Waris kepada jenazah pesakit Covid-19 di Pusat Sehenti Urus Mayat (Pusum), di sini, diminta membenarkan urusan pengebumian dilakukan di tanah perkuburan yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, ia bertujuan memudahkan waris jenazah pesakit Covid-19 menyegerakan proses pengebumian kerana kemudahan sudah tersedia termasuk petugas yang menguruskannya secara berjadual.

"Kita merayu kepada keluarga jenazah pesakit Covid-19 mengizinkan proses (pengebumian) dijalankan di dua tanah perkuburan yang ditetapkan iaitu di Raudhatul Sakinah Taman Selasih, Batu Caves dan Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

"Tetapi jika ada mana-mana waris mahu mengebumikan di tanah perkuburan lain, perkara itu terpaksa dirunding dengan pihak pengurusan kerana mungkin ada kekangan tertentu dan ia akan melambatkan proses.

"Dalam keadaan sekarang, adalah lebih baik dikebumikan di tanah perkuburan yang ditetapkan bagi mengelakkan kluster di tempat pengebumian," katanya selepas meninjau operasi kemudahan Pusum yang dibina sementara di Kompleks Sukan Institut Sukan Negara, Jalan Raja Muda, Kampung Baru, di sini, hari ini.

Pusum beroperasi sejak 20 Julai lalu dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi menampung keperluan pengurusan mayat yang tinggi berbanding kapasiti penyimpanan mayat sedia ada di Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur.

Pusat itu mempunyai lima kontena yang boleh menampung 225 jenazah dalam satu-satu masa dan hingga kini menguruskan 300 jenazah pesakit Covid-19.

Annuar berkata, lima kontena sedia ada setakat ini masih mencukupi untuk menyimpan jenazah pesakit Covid-19 dengan tahap penggunaan kapasiti penyimpanan antara 100 hingga 130 jenazah ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 9:17 PM