PETUGAS Jawi dan Jakim menguruskan pengebumian mangsa pesakit Covid-19 saban hari.
PETUGAS Jawi dan Jakim menguruskan pengebumian mangsa pesakit Covid-19 saban hari.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: "Memang lelah dan meletihkan namun tanggungjawab fardu kifayah menguruskan jenazah mangsa Covid-19 ini harus segera diuruskan dengan sempurna," ujar Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Mohd Ajib Ismail.

Beliau berkata, sejak Mac 2020 hingga semalam, seramai 1,388 jenazah mangsa Covid-19 membabitkan warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya diuruskan pengebumian oleh pihaknya.

"Setiap hari seramai 71 petugas Pasukan Pengurusan Jenazah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jawi berulang-alik ke lima tanah perkuburan yang menjadi lokasi persemadian mangsa Covid-19 di ibu kota.

"Pasukan petugas khas pengurusan jenazah Covid-19 ini memfokuskan tugas dalam melicinkan operasi mengebumikan setiap jenazah dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat," katanya ketika dihubungi wartawan Harian Metro.

Beliau mengulas tular video van jenazah berbaris panjang untuk menghantar jenazah pesakit Covid-19 yang mahu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini, kelmarin.

Video mengundang sebak dan rasa pilu nitizen apabila pengebumian besar-besaran itu dilakukan tanpa kehadiran waris atau keluarga mangsa di tanah perkuburan itu.

Menurutnya, urusan pengurusan jenazah Covid-19 oleh Jawi dan Jakim membabitkan mangsa yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Ampang, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Hospital Putrajaya, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Institut Jantung Negara, Institut Kanser Negara dan beberapa hospital lain.

"Tugas ini dipikul 52 petugas lelaki dan 19 petugas wanita bagi menguruskan jenazah mangsa Covid-19 membabitkan pelbagai peringkat usia.

"Setiap hari, tidak kurang 30 jenazah pesakit Covid-19 akan diuruskan pengebumian mereka di lima tanah perkuburan Islam di bawah kendalian Jawi termasuk di Tanah Perkuburan Islam, Presint 20, Putrajaya," katanya.

Beliau berkata, pihak Jawi kini dalam perancangan untuk memastikan semua jenazah pesakit Covid-19 dikebumikan hanya di satu lokasi terpilih sahaja.

"Jawi mungkin akan memilih tanah perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves, sebagai tempat mengebumikan mangsa Covid-19. Ini bertujuan memudahkan pengurusan SOP ditetapkan," katanya.

Menurutnya, jenazah berusia 61 hingga 88 tahun paling ramai diuruskan pihaknya.

Mohd Ajib berkata, pihaknya bersama Jakim sentiasa berusaha dan bersedia melakukan yang terbaik dalam menjalankan amanah negara dan agama.

Malah, katanya, kapasiti petugas pengurusan jenazah dan petugas di tanah perkuburan sentiasa diberi perhatian dan ditambah mengikut keperluan semasa.

"Tempoh pengebumian juga dibenarkan hingga ke waktu malam bagi memastikan semua jenazah dapat dikebumikan segera," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 2:00 PM