TRAN Thi Tuyen disoal siasat polis, keranda yang berisi batang pokok bakung (lily) dab guni (gambar kecil). FOTO Agensi
TRAN Thi Tuyen disoal siasat polis, keranda yang berisi batang pokok bakung (lily) dab guni (gambar kecil). FOTO Agensi
Agensi

Hanoi: Seorang wanita di Vietnam disiasat selepas disyaki memalsukan kematian dan mengadakan majlis pengebumian untuk dirinya pada 29 Mac lalu.

Vietnam Times melaporkan, Tran Thi Tuyen, 60, dari Soc Trang, wilayah selatan negara itu dipercayai melakukan perbuatan itu bagi mengelak daripada diburu pemiutang.

Ahli keluarga pada mulanya menyatakan bahawa wanita itu meninggalkan rumahnya di bandar Cu Lao Dung untuk berniaga di Kemboja.

Namun, Tuyen dilaporkan tidak dapat membayar balik hutang dan kemudian dibunuh oleh pemiutang.

Bagaimanapun, ia menimbulkan persoalan memandangkan tiada laporan kes itu diterima polis.

Siasatan polis sebaliknya mendapati anak lelakinya yang membawa ibunya ke wilayah Dong Thap yang jaraknya 130 kilometer (km) dari Soc Trang untuk membeli keranda.

Mereka ke sana sehari sebelum keluarga mengadakan 'upacara pengebumian' wanita berkenaan.

Wanita itu berkemungkinan cuba mengambil kesempatan kerana mengikut budaya masyarakat negara itu yang menderma wang kepada keluarga si mati.

Tetamu yang hadir ke majlis pengebumian lazimnya akan menyerahkan wang dan memasukkannya di dalam sampul disediakan keluarga si mati.

Sementara itu, portal Tuoi Tre pula melaporkan polis menerima laporan berhubung mayat seorang wanita yang dibawa pulang ke kampung dari kawasan penularan Covid-19 di Dong Thap berhampiran sempadan Kemboja.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 6:31 AM